Pelaburan mampan dorong minat pelaburan Shariah, ESG di Malaysia

No Image Caption
A
A
A

PELABURAN mampan mendorong minat dalam pelaburan patuh Shariah dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang lebih luas dan di Malaysia, kata firma pengurusan aset Mercer.

Ketua Perniagaan Kekayaan Asia Mercer, Janet Li berkata, dana persaraan utama di Malaysia - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), kedua-duanya telah menyokong pelaburan yang bertanggungjawab.

KWSP menjadi menandatangani Prinsip untuk Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2019 dan KWAP telah menetapkan hasrat bagi tempoh jangka panjang untuk menjadikan dana persaraan itu 100 peratus patuh Shariah.

"Oleh itu, kami menjangkakan bahawa pelaburan patuh Shariah dengan pelan itu dapat meningkat dari semasa ke semasa. Pada 31 Disember, 2019, hampir 37 peratus aset pelaburan adalah patuh Shariah," katanya.

Menurut laporan Mercer Asset Allocation Insights 2021, peruntukan aset gabungan KWSP dan KWAP mengekalkan kecenderungan kepada ekuiti domestik dan sekuriti pendapatan tetap kerajaan Malaysia.

"Bagaimanapun, terdapat perubahan dalam peruntukan aset untuk KWSP dengan peningkatan ekuiti asing.

"Terdapat juga peningkatan upaya untuk mempelbagaikan portfolio termasuk peruntukan untuk peruntukan alternatif seperti aset nyata dan ekuiti swasta," kata laporan itu.

Di Hong Kong dan Taiwan, faktor ESG akan dipertimbangkan dalam keputusan pelaburan, sementara syarikat dana bersama di India telah mula melancarkan produk yang berfokus kepada ESG.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Korea Selatan dan Filipina masing-masing menunjukkan komitmen terhadap ESG melalui pelaburan dalam bon hijau, Korea Selatan secara khusus mengaitkan objektif mereka dengan tema sosial untuk menyokong ekonomi dalam persekitaran pandemik Covid-19 tidak menentu.

Sebagai tambahan, China telah menunjukkan kepemimpinan dalam menjalankan dasar pertumbuhan yang mampan dengan minat yang semakin mendalam daripada pemilik dan pengurus aset di China yang memasukkan ESG dalam pendekatan pelaburan mereka, kata laporan itu.

Ia berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelabur Asia (tidak termasuk Jepun) memegang peruntukan aset dengan cukup stabil dengan kenaikan sederhana terhadap peruntukan alternatif dalam jangka masa setahun.

Hong Kong mempunyai peruntukan sebanyak 60 peratus untuk ekuiti manakala Taiwan mempunyai peruntukan 41 peratus untuk ekuiti dan 10 peratus untuk peruntukan alternatif.

Korea Selatan mempunyai peruntukan tertinggi untuk peruntukan alternatif antara semua pasaran di Asia pada 11 peratus yang telah meningkat selama setahun.

Sebaliknya, peruntukan pendapatan tetap India adalah signifikan iaitu hampir 90 peratus, manakala sepanjang tempoh setahun, Jepun telah beralih daripada memiliki salah satu peruntukan aset yang paling konservatif kepada yang paling agresif.

Peruntukan pendapatan tetap menurun daripada 59 peratus kepada 45 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh perubahan dana pelaburan persaraan kerajaan.

Dalam portfolio ekuiti, aset telah beralih kepada ekuiti asing dengan tempoh semasa secara purata sebanyak 48 peratus meningkat daripada 34 peratus pada tempoh sebelumnya.

Laporan itu mendapati perubahan di Taiwan dan Malaysia telah menyumbang kepada hal ini, sementara pendapatan tetap asing kekal sebagai bahagian portfolio pendapatan tetap yang agak rendah dan sebahagian besarnya kekal sama dalam tempoh setahun pada sembilan peratus.

"Kami menjangka minat akan terus meningkat dalam peruntukan alternatif kerana pelabur berusaha untuk meningkatkan hasil portfolio dalam persekitaran ketidaktentuan yang berkaitan dengan pandemik Covid-19. Kecenderungan kepada peruntukan ekuiti asing adalah evolusi semula jadi apabila dana berkembang dan menjadi lebih matang.

"Kepelbagaian daripada pasaran domestik membantu mengurangkan risiko dan menciptakan lebih banyak pemacu pulangan. Ia adalah sesuatu yang memberangsangkan untuk melihat peningkatan dalam pelaburan ESG sama ada melalui peningkatan kesedaran pasaran atau peruntukan portfolio," kata Janet. - Bernama