'Hasni jangan main api' - Che Zakaria

Zakaria (kiri) menyerahkan sumbangan kepada seorang penerima bakul makanan JKM di kawasan Flat 64, Bandar Baru Seri Alam, Pasir Gudang, pada Jumaaat.
Zakaria (kiri) menyerahkan sumbangan kepada seorang penerima bakul makanan JKM di kawasan Flat 64, Bandar Baru Seri Alam, Pasir Gudang, pada Jumaaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad diingatkan tidak mencetuskan konflik politik baharu dengan mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi dan tidak menghormati parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, tidak wajar apabila semua parti dalam gabungan PN kini sudah 'bertenang' dan tidak berpolitik dikejutkan dengan kenyataan terbaharu Hasni itu.

"Apa motif Hasni mengeluarkan kenyataan seperti itu yang boleh mengeruhkan keadaan kerana ketika ini tumpuan utama kita bukanlah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebaliknya isu rakyat.

"Hasni diingatkan tidak bermain api kerana akan membakar diri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penduduk di kawasan Flat 64, Bandar Baru Seri Alam di sini pada Jumaat.

Pada Rabu, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, parti itu dan Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding pada PRU15 di semua 19 kerusi DUN yang telah dimenanginya sebelum ini,

Hasni berkata, parti itu juga bertegas tidak akan menggunakan simbol selain lambang UMNO dan BN malah kerusi menang yang ditandingi BN sebelum ini akan terus ditandingi calon BN pada PRU15.

Mengulas lanjut, Zakaria memberitahu Hasni tidak seharusnya bercakap besar seolah-olah tidak menghargai persahabatan dalam PN termasuk pengorbanan Bersatu negeri hingga membolehkannya menjadi Menteri Besar Johor.

Zakaria berkata, mungkin Hasni merasakan kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor sudah 'selamat' kerana tiada undi percaya diusulkan terhadapnya dalam sidang Dewang Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dan sebab itu 'berani' mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Hasni mungkin tidak sedar atau lupa kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor serta kerajaan PN di negeri ini sangat rapuh dan boleh tumbang bila-bila masa jika seorang ADUN menarik sokongan terhadapnya.

Kerajaan PN Johor pimpinan Hasni ketika ini mempunyai 29 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi, jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi, sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.