Penghuni Depoh Tahanan Imigresen merusuh

Masri sedang melakukan rundingan dengan penghuni yang membuat merusuh DTI Kota Kinabalu.
Masri sedang melakukan rundingan dengan penghuni yang membuat merusuh DTI Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Hampir 400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu, di sini merusuh kerana dikatakan tidak berpuas hati apabila proses penghantaran pulang ke negara asal mereka tertangguh.

Dalam rusuhan kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat itu, semua penghuni yang dipercayai warga Filipina meloloskan diri dari lokap tetapi gagal melepasi pagar lokap berkenaan.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sabah (Operasi) Masri Adul berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula daripada blok yang menempatkan tahanan wanita.

Katanya, sekumpulan tahanan wanita itu mengaku terlalu tertekan dan meminta segera dihantar pulang ke negara asal mereka.

"Provokasi itu didengari oleh blok tahanan lelaki yang terletak berhadapan blok wanita sehingga mencetuskan rusuhan kecil.

"Penghuni tiga blok lelaki kemudiannya merosakkan kunci mangga pintu lokap dan terus keluar ke kawasan lokap," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Masri berkata, sebaik menyedari kejadian itu, pihak DTI terus menghubungi polis dan Jabatan Imigresen negeri bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, kira-kira 70 anggota dan pegawai serta 40 anggota bahagian penguatkuasaan imigresen dikerah ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Rusuhan kecil itu berjaya dikawal dan saya bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berunding dengan tahanan bagi menyelesaikan perkara itu.

"Dalam rundingan itu selama sejam itu kami menerangkan secara lanjut kepada penghuni pusat berkenaan mengenai situasi sebenar proses penghantaran semula yang terpaksa ditangguhkan.

"Penghantaran balik itu ditangguhkan atas permintaan pihak Kedutaan Filipina kerana beberapa perkara termasuk penularan pandemik Covid-19 dan mereka memahami situasi itu," katanya.

Sementara itu, Masri berkata, pasukan polis akan menempatkan seramai 30 anggota di DTI ini untuk tempoh beberapa hari bagi memantau keadaan di lokasi itu.

"Tiada sebarang kerosakan yang berlaku dalam insiden ini dan pemantauan juga akan dijalankan dari masa ke masa," katanya.

.