Pembukaan sekolah: Pulau Pinang mohon guru, kanak-kanak divaksin

Kerajaan Pulau Pinang memohon agar semua guru dan kanak-kanak yang akan kembali ke pembelajaran di sekolah-sekolah diberi vaksin Covid-19 menjelang pembukaan sekolah Oktober nanti. (Gambar hiasan). - Foto 123rf
Kerajaan Pulau Pinang memohon agar semua guru dan kanak-kanak yang akan kembali ke pembelajaran di sekolah-sekolah diberi vaksin Covid-19 menjelang pembukaan sekolah Oktober nanti. (Gambar hiasan). - Foto 123rf
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang memohon agar semua guru dan kanak-kanak yang akan kembali ke pembelajaran di sekolah-sekolah diberi vaksin Covid-19 menjelang pembukaan sekolah Oktober nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata keselamatan dan kesihatan murid serta guru tidak harus dipandang ringan memandangkan jumlah kes-kes positif Covid-19 harian negara masih tinggi.

"Pada pendapat saya semua anak-anak seharusnya diberikan peluang yang sama untuk menerima vaksin. Ketua Menteri, Chow Kon Yeow melalui Majlis Keselamatan Negara telah merekodkan permintaan supaya Pulau Pinang turut diberikan peluang untuk menerima vaksin itu,” katanya di sini pada Jumaat.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa vaksinasi bagi remaja 12 hingga 15 tahun di Sarawak akan bermula hujung bulan ini dan kemudian akan diikuti negeri Selangor.

Beliau berkata, kerajaan wajar memberikan perhatian khusus kepada situasi itu memandangkan kebolehjangkitan wabak Covid-19 adalah semakin tinggi dengan kepelbagaian varian virus yang sedang menular dalam negara.

Sementara itu, setakat 9 September, 1.33 juta penduduk di Pulau Pinang berdaftar untuk menerima vaksin dan kadar penerima vaksinasi lengkap di Pulau Pinang kini mencecah 51.1 peratus atau 906,768 penerima manakala 1.2 juta penduduk (69.5 peratus) menerima dos pertama di sini.

Pulau Pinang sehingga Khamis merekodkan 103,149 kes jangkitan Covid-19 sejak 2019 dan kini mempunyai 11,969 kes aktif dengan 850 kes kematian direkodkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: