Peruncitan, pemborongan Malaysia susut dua digit: Perangkaan

Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan penurunan dua digit selama dua bulan berturut-turut iaitu -14.7 peratus kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021, ketika Malaysia berada dalam sekatan susulan lonjakan kes Covid-19.
Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan penurunan dua digit selama dua bulan berturut-turut iaitu -14.7 peratus kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021, ketika Malaysia berada dalam sekatan susulan lonjakan kes Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan penurunan dua digit selama dua bulan berturut-turut iaitu -14.7 peratus kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021, ketika Malaysia berada dalam sekatan susulan lonjakan kes Covid-19, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor kenderaan bermotor menerima kesan paling teruk, menjunam -85.4 peratus atau RM11.8 bilion untuk mencatat penjualan bernilai hanya RM2.0 bilion, manakala perdagangan runcit susut -8.1 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM41.1 bilion.

"Ini diikuti dengan perdagangan borong, yang merosot -1.1 peratus atau RM0.5 juta kepada RM49.5 juta.

“Bagaimanapun, untuk perbandingan dari bulan ke bulan, nilai penjualan meningkat 0.5 peratus, pulih daripada -14.8 peratus yang direkodkan pada bulan sebelum ini selepas beberapa negeri memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan sektor ekonomi dan pengedaran terpilih beroperasi, " kata Mohd Uzir dalam laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Julai 2021 yang diumumkan pada Jumaat.

Melihat kepada prestasi di seluruh subsektor, beliau menjelaskan pertumbuhan subsektor kenderaan bermotor sebanyak -85,4 peratus pada Julai 2021 telah diseret oleh penjualan kenderaan bermotor yang jatuh -83.8 peratus atau RM6.8 bilion kepada RM1.3 bilion.

Ini diikuti dengan penjualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor dengan -87.4 peratus kepada RM0.4 bilion.

Begitu juga, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga menurun -88.7 peratus kepada RM0.2 bilion, diikuti dengan penjualan, penyelenggaraan serta pembaikan motosikal dengan pertumbuhan -86.9 peratus kepada RM0.1 bilion, kata Mohd Uzir.

“Dalam pada itu, untuk perbandingan dari bulan ke bulan, penjualan subsektor ini mencatat peningkatan yang signifikan sebanyak 118.6 peratus, didorong oleh penjualan kenderaan bermotor yang menokok 275.1 peratus selepas ruang pameran dan pusat penjualan mula dibuka dalam negeri-negeri yang sudah memasuki Fasa Kedua,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Indeks penjualan runcit membabitkan produk secara dalam talian mencatatkan pertumbuhan 9.4 peratus dari tahun ke tahun berbanding 8.7 peratus pada Jun 2021.

"Secara penyelarasan bermusim, indeks pulih 4.7 peratus dibandingkan dengan -2.8 peratus yang dicatatkan semasa bulan sebelum ini," katanya.

Daripada segi indeks jumlah dagangan, perdagangan borong dan runcit merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak -16.7 peratus. -Bernama