PGA rampas pelbagai barang seludup RM3.09 juta

Mat Shukor menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol Rantau Panjang pada Jumaat.
Mat Shukor menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol Rantau Panjang pada Jumaat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa yang melakukan penugasan Op Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM3.09 juta sejak 25 hari lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, sepanjang penugasan yang bermula sejak 16 Ogos hingga Khamis, pihaknya berjaya menahan 63 individu lelaki dan dua wanita yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

"Sepanjang tempoh tersebut, Batalion 8 PGA turut merampas 42 buah kenderaan pelbagai jenis yang digunakan bagi tujuan penyeludupan," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, rampasan berkaitan dengan bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterina menjadi penyumbang terbesar membabitkan nilai berjumlah RM710,000.

Beliau berkata, ia kemudian diikuti oleh kes bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM571,200, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (RM176,021) Kastam (RM68,634) dan banyak lagi.

Dalam perkembangan lain, Mat Shukor mendedahkan, kebanyakan kenderaan atau kereta yang digunakan penyeludup untuk melakukan kegiatan haram itu dikategorikan sebagai 'sakit'.

Istilah 'sakit' itu jelas beliau, merujuk kepada kenderaan yang tidak mempunyai pendaftaran yang sah dan digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Artikel Berkaitan: