Jangan malu jika ada masalah kesihatan mental, dapatkan sokongan

Ras Adiba
Ras Adiba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat tidak sepatutnya malu mendapatkan sokongan sekiranya mengesyaki diri mengalami masalah kesihatan mental, kata Penaung National Alliance of Mental Health (NAMH), Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu menghapuskan persepsi sekiranya mereka mendapat bantuan psikologi akan di'cap' sebagai orang tidak siuman.

"Tidak semestinya kita tak nampak, ia tidak ada. Adakalanya seseorang memerlukan bantuan dan adakala mereka memberi amaran tetapi kita tidak dapat melihatnya.

"Oleh itu, adalah penting untuk kita semua bersama-sama, saling menjaga antara satu sama lain, memerhati dan menyedari akan petunjuk dan perkara kecil. Kita semua manusia, ada hari yang kita perlukan sokongan dan sedikit galakan," katanya ketika berucap dalam ‘Hope Symposium 2021’ anjuran Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) pada Jumaat.

Bertemakan 'Thriving in Mental Health with Meaning and Compassion', simposium yang berlangsung secara maya sejak Khamis itu bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai isu kesihatan mental bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Turut menyertai simposium itu Penaung MIASA dan selebriti Che Puan Sarimah Ibrahim, pengasas MIASA Anita Abu Bakar dan penyanyi yang juga pengasas kepada Qalby App Mizz Nina.

Tema Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia tahun ini adalah ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, hingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak. - Bernama

Artikel Berkaitan:


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)