Bincang dengan PBT elak pembinaan tidak tergendala

Rodziah melawat galeri jualan bagi projek perumahan Rumah Selangorku di Puncak Alam pada Jumaat.
Rodziah melawat galeri jualan bagi projek perumahan Rumah Selangorku di Puncak Alam pada Jumaat.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dinasihatkan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor untuk melanjutkan tempoh pembinaan bagi memastikan projek perumahan tidak terus tergendala dan lewat untuk disiapkan.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, setiap PBT di Selangor mempunyai ketetapan berbeza berhubung waktu kebenaran beroperasi sektor pembinaan.

"Mungkin ada PBT membenarkan waktu operasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam, manakala ada yang menetapkan waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Lawatan Tapak Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, di sini pada Jumaat.

Rodziah berkata, beliau menerima laporan terdapat beberapa projek perumahan dibangunkan di negeri ini lewat disiapkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, keadaan bertambah sulit apabila projek pembinaan tertangguh lama kerana tidak mendapat kebenaran PBT.

"Apabila sektor sudah dibuka banyak kerja pembinaan tertangguh daripada 36 bulan kepada lebih 36 bulan untuk disiapkan," katanya.

Justeru, jelas beliau, semua pemaju perumahan perlu berbincang dengan PBT bagi memastikan masalah kelewatan dan isu berbangkit dapat ditangani segera.

Artikel Berkaitan:

Rodziah memberitahu, setakat ini sudah banyak pemaju memulakan perbincangan dengan PBT berhubung lanjutan waktu operasi kerja pembinaan.

"Saya difahamkan PBT di kawasan bandar lebih tegas berhubung perkara ini kerana mereka perlu melihat dari pelbagai sudut terutama kawasan pembinaan yang mungkin berada berdekatan dengan penduduk.

"Dalam konteks ini, kerajaan negeri kena seimbang dan kita serah kepada PBT untuk membuat pertimbangan mengikut polisi yang ditetapkan," katanya.