Lelaki Myanmar curi identiti rakan senegara untuk vaksin

Beberapa dokumen yang dirampas daripada suspek. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Soffian Santong)
Beberapa dokumen yang dirampas daripada suspek. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Soffian Santong)
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas didapati menggunakan nombor pasport dan nama rakan senegaranya bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon pada jam 4.20 petang Khamis.

Menurutnya, tembelang suspek pecah apabila polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun pada 6 September lalu berhubung perkara itu.

"Kita menerima laporan dari seorang warga asing mengatakan nama dan nombor pasportnya telah didaftarkan di PPV RiVAC di Gurney Paragon. Mangsa hanya menyedari perkara itu ketika dia hadir ke PPV Tapak Pesta Sungai Nibong untuk menerima suntikan dos pertama.

"Ketika ingin mendaftar, petugas PPV di situ memberitahunya bahawa nama dan nombor pasportnya telah didaftarkan di PPV RiVAC di Gurney Paragon iaitu dos pertama telah diterima pada 20 Ogos manakala dos kedua dijadualkan pada 9 September," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Soffian berkata, mangsa yang tidak berpuas hati dan mengesyaki ada pihak tidak bertanggunjawab telah menggunakan identitinya bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Nibong pada hari yang sama.

"Susulan daripada itu, sepasukan polis yang dibantu petugas keselamatan PPV RiVAC Gurney Paragon telah berjaya menahan suspek di PPV berkenaan. Kita turut merampas beberapa dokumen antaranya i-kad dan kad pengenalan atas nama orang lain (nama mangsa)," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa tidak mengenali suspek dan polis sedang menyiasat bagaimana suspek mencuri identiti mangsa.

"Saya menasihati orang ramai supaya jangan sesekali menggunakan sebarang cara yang menyalahi undang-undang semata-mata untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 selain perlu menjaga kerahsiaan maklumat peribadi agar tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.