Lebih 500 pekerja asing agromakanan ambil vaksinasi Covid-19

Tuan Saripudin (dua,kanan) bersama Wan Hassan (dua, kiri) melihat proses pendaftaran vaksinasi pekerja asing agromakanan di Pusat Khidmat DUN Semerak, pada Jumaat.
Tuan Saripudin (dua,kanan) bersama Wan Hassan (dua, kiri) melihat proses pendaftaran vaksinasi pekerja asing agromakanan di Pusat Khidmat DUN Semerak, pada Jumaat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Lebih 500 pekerja asing dalam sektor agromakanan yang mempunyai dokumen perjalanan dan pas kerja yang sah telah mendapatkan vaksinasi Covid-19 di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di sini.

Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, mereka adalah terdiri daripada awak-awak bot, pengusaha bot, peniaga ikan serta usahawan produk perikanan.

Menurutnya, langkah tersebut amat penting bagi memastikan semua pekerja sektor agromakanan mendapat vaksinasi masing-masing walaupun kebanyakan daripada mereka bekerja di laut.

"Hari ini kita bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Perikanan Negeri Kelantan berusaha untuk melaksanakan aktiviti ini kerana kita melihat vaksinasi ini sangat penting kepada mereka yang bekerja di lapangan memandangkan penglibatan secara langsung semasa mendaratkan ikan terutamanya di Pengkalan Tok Bali.

"Insya-ALLAH selama dua hari ia diadakan kita akan dapat mevaksin pekerja-pekerja asing yang berasal dari Thailand, Laos, Vietnam dan Kemboja ini dengan baik. Apa yang pasti, mereka perlu mempunyai dokumen perjalanan dan pas pekerja yang sah dengan bantuan majikan masing-masing," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Tuan Saripudin sebelum itu meninjau Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AIVAC) Pasir Puteh di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, di sini.

Mengulas lanjut, Tuan Saripudin berkata, vaksinasi melibatkan pekerja asing tersebut diberikan secara percuma dan keselamatan mereka turut diutamakan agar penularan Covid-19 dapat diputuskan dengan baik.

Malah katanya, program AIVAC juga turut mensasarkan mereka yang tinggal berdekatan Bachok dan Kota Bharu untuk mendapatkan vaksinasi masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan yang sama, ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim memberitahu, pihaknya turut mengesyorkan mana-mana pekerja asing terutamanya buruh kasar yang masih belum mendapatkan vaksin untuk melaksanakannya secepat mungkin.

Katanya, majikan perlu bertanggungjawab membantu pekerja mereka dengan mendaftarkan pekerja berkenaan di mana-mana lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ataupun secara 'walk-in'.

"Mereka boleh maklumkan kepada penghulu kawasan untuk mendapatkan maklumat lanjut atau daftar melalui 'walk-in', Insya-ALLAH, jika mereka mempunyai dokumen yang sah semuanya akan dipermudahkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!