Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia susut 5.2 peratus

Indeks Pengeluaran Perindustrian merosot 5.2 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. - Gambar hiasan
Indeks Pengeluaran Perindustrian merosot 5.2 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) merosot 5.2 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Ini merupakan kejatuhan pertama semenjak November 2020, kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun menurun 6.5 peratus pada bulan Julai 2021 selepas mencatatkan kejatuhan 0.2 peratus pada bulan Jun 2021.

Subsektor yang mempengaruhi kemerosotan dalam sektor pembuatan pada Julai 2021 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (-43.8 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-27.6 peratus) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (-23.7 peratus).

Industri berorientasikan domestik menyusut 24.7 peratus manakala industri berorientasikan eksport tumbuh sebanyak 1.9 peratus, katanya.

Mohd Uzir berkata, output sektor perlombongan bagaimanapun meningkat 0.6 peratus pada bulan Julai 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh peningkatan 4.1 peratus dalam indeks gas asli.

Beliau menambah, indeks minyak mentah dan kondensat berkurangan 3.6 peratus sementara output sektor elektrik merosot 6.6 peratus pada bulan Julai 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: