Wanita mengaku cuai, biar anjing peliharaan gigit budak

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan Julai lalu.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan Julai lalu.
A
A
A

TAIPING - Seorang ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan Julai lalu.

K Saroja Devi, 46, yang bekerja mengambil upah memasak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 25 Oktober depan untuk laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhi hukuman.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan cuai membiarkan anjing peliharaannya mencederakan Nurilmi Natrah Mohd Muzri, 12, di hadapan sebuah rumah bernombor di Kampung Larut Tin Sambungan dalam daerah Taiping kira-kira jam 5 petang pada 10 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Fauzi yang mengendalikan kes itu menawarkan jaminan RM2,000.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh tidak berkemampuan kerana mempunyai tanggungan tujuh anak.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 Julai lalu, seorang kanak-kanak cedera di bahagian lengan kanan dan kiri, lutut kanan serta perut selepas diserang dan digigit anjing belaan ketika sedang bermain di kawasan luar rumah.

Kejadian itu disedari nenek mangsa selepas mendengar jeritan kuat dari luar rumah dan mendapati mangsa sedang digigit seekor anjing berwarna coklah kehitaman di bahagian lengan.

Mangsa telah diberikan rawatan awal dan hasil pemeriksaan didapati negatif virus rabbies.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, didapati pintu rumah pemilik haiwan itu telah terbuka menyebabkan anjing yang dipelihara sejak setahun lalu itu berlari keluar dan menyerang mangsa.