Pas Pulau Pinang minta kerajaan negeri batalkan PSR

Pas Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri segera membatalkan terus Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) berikutan pembatalan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek berkenaan.
Pas Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri segera membatalkan terus Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) berikutan pembatalan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek berkenaan.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Pas Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri segera membatalkan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) demi kelestarian ekosistem dan sumber rezeki nelayan di negeri ini.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pihaknya akan sentiasa menyokong penuh komuniti nelayan serta masyarakat Pulau Pinang dalam membantah projek tersebut sekiranya kerajaan negeri tetap mahu meneruskannya selepas ini.

"Pas Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri agar batal terus projek yang tidak memberi manfaat kepada komuniti nelayan dan masyarakat sekitar.

"Kita akan bersama dengan masyarakat untuk membantah sekiranya kerajaan negeri selepas ini tetap mahu meneruskannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas mengenai pembatalan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek tambak laut itu, Muhammad Fauzi berkata, ia membuktikan bahawa keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan tanpa campur tangan politik.

Katanya, dengan tiada campur tangan politik, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bebas membuat keputusan yang telus, matang dan adil berhubung EIA bagi projek mega itu.

"Tahniah kepada semua komuniti nelayan di atas kejayaan pembatalan kelulusan PSR melalui rayuan yang difailkan oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019.

"Keputusan tersebut memberikan kemenangan serta kegembiraan besar kepada komuniti nelayan dan masyarakat Pulau Pinang yang mahukan pembangunan mampan.

Artikel Berkaitan:

"Pembatalan EIA projek ini membuktikan bahawa keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan tanpa campur tangan politik, malah Lembaga Rayuan bebas membuat keputusan yang telus, matang dan adil," katanya.

Pada Rabu, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi turut mempersoalkan sama ada wujud campur tangan politik ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berhubung pemberian kelulusan EIA untuk projek tersebut.

"Apakah Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin ketika itu seolah-olah membiarkan EIA ini mendapat kelulusan sebelum Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) diperkenankan oleh Yang di-Pertua (YDP) Negeri Pulau Pinang?

"Jadi adakah kerajaan Pulau Pinang selepas ini hanya memandang sebelah mata dan memekakkan telinga atas nasihat undang-undang berkaitan isu-isu yang dipertimbangkan oleh Lembaga Rayuan?" soalnya.

Februari lalu, kerajaan negeri mengumumkan kerja tambakan laut untuk PSR akan bermula antara hujung Mac hingga awal April ini selepas kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dari JAS diperolehi.

Kerja penambakan itu akan bermula secara berperingkat dengan Fasa 1 di Pulau A terlebih dahulu.

Kadar tambakan terkawal dijangka akan dijalankan pada keluasan 10.1 hektar sebulan yang mana, ia mengambil masa tujuh tahun iaitu sehingga 2027 untuk disiapkan.