CDERT-C siap sedia hadapi musim tengkujuh di Pahang

Che Adam ketika pertemuan dengan ahli CDERT-C di Kuala Tahan pada Isnin.
Che Adam ketika pertemuan dengan ahli CDERT-C di Kuala Tahan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang akan memperkasakan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam Komuniti (CDERT-C) di negeri ini dengan sasaran 500 ahli baharu tahun depan.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, ketika ini terdapat 509 ahli CDERT-C di lapan daerah yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan kemasyarakatan dan bantuan kecemasan.

Menurutnya, Jerantut mencatat jumlah tertinggi dengan membabitkan 217 ahli terdiri daripada golongan belia.

"Daripada jumlah itu, seramai 65 ahli dalam kawasan Mukim Teh, Mukim Tembeling Tengah (63 ahli), Mukim Hulu Cheka (31 ahli) dan Mukim Tebing Tinggi (20 ahli).

"Bagi daerah lain pula melibatkan, Bentong (101 ahli), Temerloh (75 ahli), Maran (45 ahli), Bera (21 ahlu), Lipis (20 ahli), Raub (20 ahli ) dan Kuantan (10 ahli)," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum itu, Che Adam mengadakan pertemuan dengan ahli CDERT-C Mukim Tembeling Tengah sempena program agihan bakul makanan kepada penduduk di beberapa kampung di kawasan Ulu Tembeling, Jerantut pada Isnin lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan penubuhan pasukan itu di daerah lain dan usaha ke arah itu sedang dilaksanakan.

"APM Pahang amat menggalakkan golongan belia untuk mendaftar sebagai ahli CDER-C dimana mereka yang tepilih akan diberikan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga akan diberi elaun setiap bulan sekali gus dapat menambah sumber pendapatan," katanya.

Dalam pada itu, Che Adam berkata, sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh serta bencana banjir di negeri ini, semua ahli CDERT-C di semua daerah telah diarahkan bersiap sedia.

"Sekiranya keadaan memerlukan, pasukan ini akan digerakkan untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa dalam membantu menghulurkan bantuan dan sebagainya.

"Kita ingin melihat mereka menjadi antara individu penting dalam aktiviti membantu mangsa banjir selain bertugas di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya.

Tambah beliau, APM Pahang akan mengadakan promosi bagi menarik lebih ramai golongan belia menjadi ahli pasukan itu.

Selain itu, Che Adam berkata, pihaknya juga turut menubuhkan Skuad Agen Basmi Covid-19 yang berperanan sebagai petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik ini.

"Mereka bertanggungjawab membantu kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa lain," katanya.