Kertas kerja naik taraf Kafa siap Mac depan

Fuziah Salleh
A
A

KUANTAN - Kertas kerja pemerkasaan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dijangka akan siap pada Mac tahun hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, kertas kerja itu disediakan khusus bagi Kafa dalam usaha memastikan kebajikan guru.

Selain itu menurutnya, ia turut merangkumi keselesaan guru dan murid dengan menyediakan prasarana dengan baik serta menaik taraf kemudahan sedia ada.

"Bila dah di lantik sebagai Timbalan Menteri yang ditugaskan menjaga hal ehwal agama, agenda pemerkasaan Kafa menjadi keutamaan dan tumpuan paling penting.

"Saya sudah lakukan lawatan ke Kafa di Sabah dan Sarawak sebelum ini, memang sangat menyedihkan keadaan prasarana di sana yang masih jauh ketinggalan berbanding Kafa di Semenanjung,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Berkhatan Perdana 2018 di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Jaya Gading, sebentar tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Khas Pejabat Ahli Parlimen Kuantan, Ahmad Azam Mohd Salleh.

Seramai 40 murid berusia antara 5 hingga 12 tahun menyertai program anjuran bersama Masjid Kariah Kampung Jaya Gading; SAR Kafa Jaya Gading dan Ikram Health.

Hadir sama Pengerusi Jemaah Pengelola SAR Kafa Jaya Gading, Wan Ali Wan Sembok dan Pengerusi Masjid Kariah Kampung Jaya Gading, Abu Sahary Alias.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, perkara itu sudah disuarakan kepada pihak berwajib bagi menilai kembali keadaan prasarana.

Jelasnya, semua bagi membolehkan kerja menaik taraf dilakukan demi keselesaan murid dan guru.