Keputusan libatkan hutan simpan perlu melalui DUN

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap keputusan membabitkan kedudukan hutan simpan kekal serta menyentuh isu alam sekitar dan perubahan iklim harus dibuat secara telus menerusi mandat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai mekanisme kebertanggungjawaban kerajaan terhadap rakyat.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, disebabkan itu beliau mengulangi gesaan bahawa pindaan perlu dibuat di peringkat undang-undang negeri untuk mengurangkan pemusatan kuasa kepada seseorang Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Beliau berkata, pindaan itu membabitkan sesuatu keputusan yang dibuat berkenaan status hutan simpan serta isu melibatkan alam sekitar dan perubahan iklim.

“Pindaan ini penting bagi menangani isu darurat iklim yang pasti akan memberikan kesan kepada kehidupan rakyat pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang bersidang pada petang Rabu dilaporkan memutuskan untuk mewartakan semula kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberi milikan tanah berkenaan kepada syarikat berkaitan.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, ABIM menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk mewartakan semula HSKLU itu.

“ABIM ingin menzahirkan penghargaan terhadap sikap terbuka yang dipamerkan kerajaan Selangor terhadap bantahan-bantahan yang dikemukakan oleh masyarakat serta pelbagai pertubuhan yang khuatir akan kesan daripada penyahwartaan HSKLU,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata, ABIM akan menggiatkan lagi usaha membawa isu perubahan iklim menerusi pelbagai platform termasuk jaringan pelbagai agama.

Katanya, ini termasuklah menerusi pelancaran kempen petisyen ‘Hentikan Pembalakan dan Kemusnahan Alam’ secara dalam talian https://www.change.org/HentiBalak sejak 19 Ogos lalu dan telah berjaya mengumpulkan lebih 185,000 tandatangan.