NS beli PPR Rantau, bantu rakyat miliki rumah sendiri

Teo Kok Seong semasa meninjau projek PPR Rantau.
Teo Kok Seong semasa meninjau projek PPR Rantau.
A
A
A

SEREMBAN - Bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah dapat memiliki rumah sendiri, kerajaan negeri telah membeli Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau daripada kerajaan persekutuan.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membeli skim PPR Rantau ini, daripada kerajaan persekutuan dengan tawaran harga RM3.5 juta.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak berkeupayaan menguruskan PPR Rantau melalui kaedah 'Rent To Own' (sewa beli) dan berhasrat untuk menyerahkan sepenuhnya pengurusan serta pengisian PPR Rantau kepada kerajaan negeri.

"Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) telah dilantik untuk menguruskan PPR tersebut sebelum tindakan lanjut dilaksanakan.

"Sebelum ini KPKT hanya membenarkan rumah tersebut disewa sahaja, namun disebabkan kerajaan negeri prihatin dengan kebajikan rakyat berpendapatan rendah, kita membeli projek ini (kerana dibina atas tanah kerajaan negeri) untuk membolehkan mereka menyewa dan akhirnya memiliki rumah tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya, KPKT kini dalam tindakan penyediaan Kertas Cadangan Pengurusan dan Pengisian PPR Rantau untuk dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

PPR Rantau yang dibeli oleh kerajaan negeri bagi membantu masyarakat berpendapatan rendah.
PPR Rantau yang dibeli oleh kerajaan negeri bagi membantu masyarakat berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut katanya, sebaik sahaja semuanya selesai, KPKT akan menyerahkan kunci rumah kepada kerajaan negeri, untuk diserahkan kepada pemilik rumah tersebut, yang dijangkakan sebelum akhir tahun ini.

"Oleh yang demikian, pembeli perlu memahami bahawa kelewatan penyerahan kunci rumah PPR Rantau ini adalah disebabkan oleh perpindahan pengurusan dan pentadbiran PPR Rantau, daripada KPKT kepada kerajaan negeri.

"Hasrat kami hanyalah satu, bukan sahaja membantu rakyat berpendapatan rendah menyewa rumah dengan harga yang murah, tetapi dengan pembelian PPR Rantau ini, kami dapat memastikan mereka juga mampu memiliki sebuah rumah sendiri bukan setakat menyewa sahaja," katanya.

PPR Rantau mula dibina pada 16 Januari 2017 dan telah siap sedia untuk diserahkan kepada pemilik rumah.

Namun, berlaku kelewatan dalam penyerahan kunci rumah disebabkan pengurusan daripada KPKT kepada kerajaan negeri.

Kediaman 100 unit itu dijual pada harga RM35,000 sebuah, bagi membantu masyarakat berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.