Kontraktor rugi RM60,000 terpedaya pinjaman wang tidak wujud

Peniaga kerugian hampir RM8,000 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud di laman sosial. (Gambar kecil: Mohd Wazir)
Peniaga kerugian hampir RM8,000 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud di laman sosial. (Gambar kecil: Mohd Wazir)
A
A
A

KUANTAN - Seorang kontraktor membuat laporan polis mendakwa kerugian RM60,000 selepas menjadi mangsa tawaran pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa berusia 28 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Raub pada Khamis selepas syak telah ditipu setelah gagal menerima RM250,000 wang dipinjam sedangkan bayaran proses RM60,000 telah dijelaskan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa terjebak dengan sindiket penipuan itu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 27 Mac lalu.

Menurutnya, suspek memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman peribadi sebuah syarikat dari Kuala Lumpur dan menawarkan kemudahan pinjaman wang kepada mangsa sekiranya berminat.

"Mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman RM250,000 dengan pelan pembayaran RM7,000 sebulan selama lima tahun.

"Mangsa diminta menyerahkan butiran peribadi termasuk salinan kad pengenalan dan penyata akaun bank untuk proses permohonan serta perlu membayar wang pendaftaran pinjaman berjumlah RM30,000," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran itu pada 18 Ogos lalu melalui akaun bank atas nama seorang lelaki.

"Pada hari yang sama, suspek menghubungi mangsa memberitahu pinjaman itu telah diluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun mangsa diminta membayar RM30,000 lagi untuk proses pembayaran wang pinjaman ke akaun banknya," katanya.

Beliau berkata, mangsa akur dan membuat bayaran seperti diminta ke akaun bank yang sama sebelum diminta menunggu sehingga wang RM250,000 yang dipinjam dimasukkan.

"Pada Khamis, mangsa sekali lagi dihubungi suspek meminta upah kerana membantu meluluskan pinjaman itu namun dia tidak berbuat demikian kerana wang yang dipinjam belum diterima.

"Mangsa juga mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.