Pekerja binaan maut terkena renjatan elektrik

JKKP mengeluarkan notis larangan dan memberhentikan segala kerja penanaman kabel elektrik di tapak pembinaan berkenaan.
JKKP mengeluarkan notis larangan dan memberhentikan segala kerja penanaman kabel elektrik di tapak pembinaan berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga India maut manakala rakan senegaranya kritikal akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang bekerja di sebuah tapak pembinaan di Jalan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, dua lelaki tersebut terkena renjatan dari kabel elektrik sementara.

"Ketika mangsa sedang menjalankan aktiviti mengikat kabel elektrik tetap, mereka terkena renjatan arus elektrik dari kabel bekalan sementara yang berada di tepi dinding berhampiran tempat mereka bekerja," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Katanya, seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehubungan itu, JKKP berkata, notis larangan sudah dikeluarkan melarang segala kerja-kerja pemasangan kabel elektrik tetap di tapak pembinaan tersebut.

"JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan pentaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif iaitu Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.

Artikel Berkaitan: