Rakyat dapat 'sayap' walaupun Malaysia belum menang lawan Covid-19

Hari ini bermulanya Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri-negeri di Lembah Klang. - Foto Bernama
Hari ini bermulanya Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri-negeri di Lembah Klang. - Foto Bernama
A
A
A

HARI ini bermulanya Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri-negeri di Lembah Klang, iaitu kawasan yang berdepan kes jangkitan Covid-19 terburuk sejak beberapa bulan lalu.

Kebebasan pergerakan antara daerah membabitkan penerima yang sudah lengkap dua dos vaksin memberi kelegaan yang tertangguh sejak warganya 'dikurung' selama ini.

Fasa dua ini juga menyaksikan kebenaran pelancongan dalam negeri diberikan. Ini akan merancakkan lagi perancangan aktiviti warga Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Lebih teruja apabila semalam, kerajaan turut mengumumkan bahawa Pulau Langkawi akan dijadikan destinasi pertama projek rintis bagi pembukaan sektor pelancongan domestik sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Langkawi boleh mula dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa Satu PPN.

ARTIKEL BERKAITAN: Langkawi boleh dikunjungi pelancong dari negeri fasa 1 PPN

Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan perkembangan ini memberi kegembiraan berganda buat rakyat Malaysia yang menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha mencapai imuniti kelompok yang digerakkan sejak Februari lalu.

Selain mempunyai pilihan melakukan aktiviti riadah luar (outdoor) seperti perkelahan dan perkhemahan, berita terbaharu itu ibarat memberi 'sayap' kepada rakyat, khususnya warga Lembah Klang untuk lebih bebas menjalankan aktiviti setelah sekian lama terpaksa akur berkurung di rumah.

Artikel Berkaitan:

Ini dilihat selari dengan sasaran peralihan fasa endemik Covid-19 yang dijangka bermula Oktober ini.

Namun, meskipun sedikit demi sedikit kebebasan diberikan kepada rakyat ketika Malaysia masih belum 'menang' melawan Covid-19, ini tidak bermakna negara telah mengaku kalah melawan pandemik itu.

Sebaliknya, ia merupakan realiti yang perlu diterima semua pihak, sebagaimana ditegaskan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu sidang media semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Beralih ke fasa endemik bukan bermakna mengaku kalah'

Beliau menjelaskan, hakikat bahawa mungkin 'titik akhir' adalah mengklasifikasikan pandemik Covid-19 kepada endemik bukan sahaja berlaku di negara ini, malah turut dinyatakan oleh beberapa negara lain.

"Walaupun kita pada asalnya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi dengan virus yang merebak dengan begitu cepat, ditambah pula dengan kemunculan varian baharu telah mengajar kita untuk terima hakikat ini," katanya.

Khairy menekankan bahawa andaian beliau bahawa negara akan beralih ke fasa endemik dibuat bersandarkan dengan adanya vaksinasi yang tinggi pada akhir Oktober.

Bagaimanapun, masyarakat diingatkan meskipun peralihan fasa endemik bakal berlaku, SOP tetap perlu dipatuhi kerana Covid-19 masih wujud dan manusia perlu belajar hidup bersama virus tersebut.