Kemenangan untuk rakyat dan Selangor

No Image Caption
A
A
A

PENGUMUMAN Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada Rabu bahawa kerajaan negeri akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) adalah kemenangan besar untuk rakyat dan negeri itu.

Dengan keputusan tersebut, kerajaan negeri akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan terbabit dan membatalkan pemberimilikan tanah berkenaan kepada syarikat berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan cadangan penyahwartaan HSKLU adalah bagi pelaksanaan projek pembangunan bercampur, namun mendapat bantahan pelbagai pihak kerana ia akan memusnahkan khazanah alam semula jadi di hutan simpan tersebut yang dianggarkan berusia 8,000 tahun.

Lokasi berkenaan adalah 'paru-paru hijau' terakhir di selatan Selangor. Ia juga adalah pembekal udara semulajadi dan penapis bahan pencemar untuk kawasan sekitarnya seperti Kuala Langat, Putrajaya, Puchong, Kota Kemuning serta Jenjarom.

Malangnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Mei memutuskan kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 dan disahkan pada 19 Mei.

Pengajaran dan iktibar daripada isu HSKLU adalah bukti jelas bahawa suara rakyat jika digembling untuk kepentingan ramai akan membawa kesan mendalam dan positif dalam perjuangan. Ia dikuatkan lagi dengan peranan media yang turut membantu menyiarkan bantahan dan kepentingan awam, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis yang bersatu tanpa jemu membuat gesaan dan memorandum. Semuanya demi survival HSKLU.

Jelaslah, kesedaran rakyat dalam mempertahankan alam sekitar semakin tinggi. Pembangunan bukan bermakna mengorbankan alam semulajadi. Lebih tepat lagi, pembangunan dan infrastruktur di Selangor sudah cukup sempurna. Tidak perlu lagi membina apa-apa sehingga menjejaskan kelestarian hutan simpan. Adalah lebih baik memperbanyakkan lagi kawasan hijau untuk anak-anak kita yang bakal diwarisi pada masa hadapan.

Apa pun, kerajaan negeri juga wajar dipuji kerana telah meletakkan kepentingan rakyat dan memulihara alam sekitar di hadapan berbanding kepentingan komersial. Kerajaan yang mendengar keluh-kesah rakyat adalah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Kepada kerajaan tempatan dan kerajaan negeri yang lain, malah di peringkat persekutuan, ingatlah betapa pentingnya rakyat dirunding terlebih dahulu dalam apa juga keputusan yang besar kerana rakyat adalah pemegang taruh yang tidak patut dibelakangkan atau dipinggirkan.