X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

MOM yakini kemampuan MPM kendali isu Ziyad

Mohamad Norza
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) mampu mendapatkan pembelaan menerusi saluran Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia (WPA) dalam isu jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Malah menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, percaya MPM di bawah kendalian presidennya Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin cukup bersedia memastikan rayuan atlet berusia 31 tahun mendapat pertimbangan IPC dan WPA.

“Biarpun MOM dan MPM merupakan dua organisasi berlainan, saya percaya Datuk Seri Megat Shahriman mempunyai perancangan tersendiri dalam memastikan rayuan isu Ziyad ini mendapat pembelaan sewajarnya melalui proses yang telah ditetapkan badan sukan antarabangsa.

“Proses-prosesnya berkemungkinan mengambil sedikit tempoh masa, namun saya percaya MPM sudah cukup bersedia bagi memastikan tidak hanya komuniti sukan tanah air tetapi juga rakyat Malaysia mengetahui situasi sebenar yang berlaku semasa kejadian,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Ziyad sebelum itu dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.

Beliau diklasifikasikan sebagai 'Did Not Start (DNS)' atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumumkan sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejuaraan Para Dunia London 2017.

Pada masa sama Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, badan induk itu dalam perancangan mengkaji semula elaun dan bonus kepada pemain dan jurulatih mengikut suku tahunan, berdasarkan kepada prestasi dan kedudukan ranking dunia.

Jelas Norza, insentif itu usaha berterusan BAM tidak hanya memastikan pemain-pemain seliaan terus bermotivasi tinggi meraih lebih banyak kejayaan pada masa depan, tetapi juga sebagai penggalak untuk sukan paling popular negara tersebut terus berkembang pada masa depan.

“BAM kini sedang mengkaji semula elaun dan bonus kepada pemain dan jurulatih mengikut suku tahunan, berdasarkan kepada prestasi dan kedudukan ranking dunia.

“BAM melihat kepada peningkatan 100 peratus elaun pemain dan bonus, jika mereka berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia. Contohnya, jika mereka menerima RM15,000 sekarang, dan jika mereka menduduki ranking kedua dunia, mereka akan menerima RM30,000 sebulan.

“Pendekatan ini antara usaha memotivasikan pemain untuk menduduki 10 terbaik, yang keseluruhannya juga meliputi kemudahan tiket penerbangan kelas perniagaan dan perkara-perkara seperti itu,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!