Perdana Menteri Thailand pecat dua timbalan menteri

Prayuth Chan o-cha
Prayuth Chan o-cha
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha memecat Timbalan Menteri Pertanian dan Koperasi, Thammanat Prompao dan Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Narumon Pinyosinwat.

Prayuth berkata, kedua-dua timbalan menteri itu 'harus mengosongkan jawatan mereka demi kebaikan kerajaan'.

Ketika ditanya mengenai pemecatan dua timbalan menteri itu, Bangkok Post melaporkan Prayuth berkata: "beliau mempunyai alasan tersendiri berhubung perubahan berkenaan”.

Thammanat, Setiausaha Agung Parti Palang Pracharath (PPRP), terlibat dalam mengumpulkan parti gabungan selepas pilihan raya 2019 yang menyaksikan Prayuth terpilih sebagai Perdana Menteri. Narumon pula adalah bekas jurucakap kerajaan pimpinan Prayuth.

Khabar angin menyatakan Thammant cuba menjadi orang tengah bagi satu pakatan dengan pembangkang dalam usaha menggulingkan Prayuth semasa usul undi tidak percaya di Parlimen pada Sabtu lalu.

Prayuth terselamat berikutan sokongan pakatan parti gabungan dengan memperoleh 264 undi menyokong dan 208 lagi menentang.

Sementara itu, Thammanat yang dilantik timbalan menteri pertanian dan koperasi pada 2019 berkata, beliau menandatangani surat peletakan jawatan pada Rabu dan menyerahkannya kepada Perdana Menteri pada Khamis selepas tidak lagi sehaluan dengan Prayuth.

Ahli Parlimen wilayah Phayao itu berkata, beliau tidak gembira dan selesa dengan politik serta telah memikirkan untuk meletak jawatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap dapat kembali ke wilayah saya (Phayao) dan berkhidmat untuk rakyat," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Thammanat menjadi perhatian selepas pelantikannya pada 2019 apabila harian The Sydney Morning Herald dan The Age Australia mendedahkan beliau pernah dipenjara selama empat tahun di Sydney pada 1990-an kerana didapati bersalah menyeludup 3.2 kilogram heroin ke negara itu.

Laporan berita itu mendapat perhatian umum dan pihak pembangkang memfailkan aduan ke mahkamah kerana beliau 'tidak layak' untuk jawatan tersebut.

Namun, mahkamah pada Mei tahun ini memutuskan Thammanat boleh terus mengekalkan jawatannya kerana sabitan kesalahan itu berlaku di Australia. - Bernama