X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

BAM pertaruh lebih ramai pemain muda di kejuaraan utama

Wong Choong Hann
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mula mengorak langkah berani dengan mempertaruhkan lebih ramai pemain muda dalam beberapa kejohanan utama selepas ini, termasuk Piala Sudirman, Thomas dan Uber.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, ia penting untuk menyediakan skuad bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, mengambil kira kitaran Olimpik kali ini lebih pendek susulan temasya Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan selama setahun akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut memberikan bayangan supaya tidak terkejut jika pemain-pemain muda seperti Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin atau pemain berusia 17 tahun Justin Hoh disenaraikan untuk saingan tersebut.

Choong Hann berkata mengikut perancangannya, fasa pertama untuk kitaran Olimpik seterusnya meliputi tempoh 20 bulan, diikuti tempoh kelayakan setahun ke Paris 2024 bermula Mei 2023.

“Jadi tempoh 20 bulan itu adalah waktu kita membariskan atau tentukan kombinasi calon-calon yang kita utamakan, yang mana kita berikan platform dan peluang pertandingan dan juga tunjuk ajar untuk mereka sampai ke tahap ranking cukup, untuk memasuki mana-mana kejohanan apabila sampai fasa dua.

“Dengan pasukan lebih muda ini, memang kita agak ketinggalan kalau bandingkan dengan negara yang lebih maju seperti Jepun dan Indonesia, tapi saya percaya pemain kita dapat pamerkan elemen kejutan kali ini, menunjukkan bahawa apa yang mereka ada itu membawa masa depan yang bagus untuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian insentif BAM kepada pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, pada Khamis.

Juara Sukan Komanwel 1998 itu turut mengesahkan bahawa senarai pemain dan sasaran di ketiga-tiga kejohanan itu akan diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM pada Sabtu ini.

Choong Hann berkata pihaknya masih dalam proses penilaian pemain berdasarkan keputusan dan prestasi dalam kejohanan ranking dalaman yang bakal berakhir esok, sebelum menamakan skuad negara.

Juara Seluruh England, Lee Zii Jia serta gandingan Aaron-Wooi Yik dijangka mengetuai bahagian perseorangan dan beregu lelaki, manakala Pearly Tan-M. Thinaah pula mungkin diketengahkan sebagai gandingan utama beregu wanita berikutan persaraan mengejutkan Chow Mei Kuan pada bulan lepas.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mencuba beberapa gandingan yang sesuai bagi pasangan Mei Kuan, Lee Meng Yean kerana pengalamannya boleh membantu skuad negara tetapi masih di peringkat percubaan dan penilaian.

INFO

Piala Sudirman kejohanan berpasukan campuran dijadualkan berlangsung di Vantaa, Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober, diikuti Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober

TAG: BAM, wong choong hann, aaron chia, soh wooi yik, piala thomas, piala uber


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!