Hari Sukan Negara 2021 disambut secara hibrid 9 Oktober

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari Sukan Negara (HSN) 2021 disambut serentak di seluruh negara secara hibrid pada 9 Oktober ini bakal memberikan penekanan kepada penggunaan teknologi terkini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan menampilkan golongan profesional seperti pempengaruh media sosial, pemain industri, atlet dan ikon sukan untuk menarik rakyat mengambil bahagian dalam aktiviti dianjurkan pada hari berkenaan.

Melalui penganjuran itu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap dapat merealisasikan hasrat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup aktif melalui amalan kecergasan dan rekreasi sekali gus menjadi budaya hidup.

“Kerajaan berhasrat bukan sahaja menggalakkan budaya bersukan, tetapi menitikberatkan penglibatan bersama dalam aktiviti sukan yang akan merapatkan hubungan rakyat tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

“HSN turut berperanan meningkatkan tahap kecergasan mental dan fizikal masyarakat serta mengenal pasti bakat sukan, meningkatkan produktiviti serta menjana kesejahteraan komprehensif selain memupuk semangat perpaduan negara,” katanya ketika melakukan prapelancaran HSN 2021 secara maya pada Khamis.

HSN diadakan pada Sabtu kedua bulan Oktober setiap tahun yang diperkenalkan sejak 2015 dan sambutan HSN kali ini bakal disempurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, antara program menarik yang bakal dianjurkan sempena HSN kali ini termasuk mega cabaran aerobik, KBS fit and active, larian maya KBS, KBS Fitness Challenge, KBS Myfit@Home dan juga KBS Freestyle Challenge.

Ahmad Faizal berkata, HSN 2020 tidak dapat disambut disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara.- Bernama

Artikel Berkaitan: