Insiden kapal halang Terusan Suez kembali berulang

Kapal MV Ever Given yang melintang di Terusan Suez menyebabkan puluhan kapal terpaksa mencari laluan alternatif pada Mac lalu. - Foto: Agensi
Kapal MV Ever Given yang melintang di Terusan Suez menyebabkan puluhan kapal terpaksa mencari laluan alternatif pada Mac lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

KAHERAH - Sebuah lagi kapal menghalang Terusan Suez di Mesir hampir enam bulan selepas insiden kapal kontena gergasi, MV Ever Given tersadai selama seminggu di laluan penting perdagangan maritim antarabangsa tersebut.

Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) pada Khamis memaklumkan kapal kontena, Coral Crystal yang mengibarkan bendera Panama itu tersangkut di laluan kira-kira 54 kilometer di terusan itu hingga menyebabkan operasi menyelamat dilancarkan segera.

Beberapa media melaporkan insiden itu turut menyebabkan perjalanan empat kapal yang berlayar dari Pelabuhan Said menuju ke Suez terpaksa ditangguhkan ketika usaha mengapungkan kapal di al-Balah yang terletak di barat terusan tersebut.

"Ia hanya melibatkan isu kecil. Lalu lintas telah kembali seperti biasa dan Coral Crystal kembali berlayar ke Pelabuhan Sudan," lapor Sky News.

Pada bulan lalu, MV Ever Given dilaporkan telah kembali berlayar melalui Laut Merah selepas dibebaskan pihak berkuasa. - Agensi

Artikel Berkaitan: