Saran buka dua lagi klinik kesihatan sebagai PPV

Mohd Asmirul Anuar (kanan) meninjau operasi kaunter PPV sementara di Terminal Jeti Kuala Kedah pada Khamis.
Mohd Asmirul Anuar (kanan) meninjau operasi kaunter PPV sementara di Terminal Jeti Kuala Kedah pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua lagi klinik kesihatan di daerah ini disarankan untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) supaya proses vaksinasi bagi Parlimen Kuala Kedah berjalan dengan lebih cepat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, klinik tersebut ialah Klinik Kesihatan Simpang Kuala dan Klinik Kesihatan Alor Janggus.

Beliau berkata, ketika ini hanya sebuah klinik kesihatan di Kuala Kedah digunakan sebagai PPV menyebabkan proses vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok lambat.

Menurutnya, fasiliti itu wajar digunakan bagi membolehkan lebih ramai penduduk menerima suntikan terutama selepas Kuala Kedah dikuatkuasakan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 19 September ini.

“Kita perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan klinik kesihatan untuk meningkatkan peratusan vaksinasi di negeri ini, khususnya bagi Parlimen Kuala Kedah yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

"Klinik Kesihatan Kuala Kedah turut melakukan ujian saringan Covid-19 menjadikan ia sesak selain berisiko kepada penerima vaksin. Seelok-eloknya perluaskan penggunaan di ketiga-tiga klinik kesihatan,” katanya selepas meninjau kaunter bergerak PPV di Terminal Jeti Kuala Kedah di sini pada Khamis.

Mohd Asmirul Anuar berkata, untuk mempercepatkan proses vaksinasi, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) beliau dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kuala Kedah membuka kaunter PPV kepada individu yang belum mendaftar menerusi MySejahtera.

“Penduduk berumur 18 tahun ke atas di Kuala Kedah yang dikenakan PKPD berpeluang menerima suntikan vaksin secara walk-in di Terminal Jeti Kuala Kedah sehingga Rabu depan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Asmirul Anuar (kiri) beramah mesra dengan penerima vaksin secara walk-in di PPV sementara di Terminal Jeti Kuala Kedah pada Khamis.
Mohd Asmirul Anuar (kiri) beramah mesra dengan penerima vaksin secara walk-in di PPV sementara di Terminal Jeti Kuala Kedah pada Khamis.

"Seramai 10 sukarelawan PKWR turut membantu petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Kuala Kedah dan Klinik Desa Kampung Tengah, di mana suntikan vaksin dapat ditingkatkan dari 240 dos kepada 400 dos.

"Kita perlu menggiatkan proses ini kerana Kedah berada di kedudukan ketiga terbawah dalam populasi lengkap vaksinasi iaitu 50.8 peratus dan tersenarai sebagai enam negeri tertinggi kes positif harian,” jelas beliau.

Sementara itu, Mohd Asmirul Anuar turut menggesa kerajaan negeri supaya segera mengagihkan bakul makanan kepada penduduk terlibat PKPD di Kuala Kedah yang dianggarkan mencecah 20,000 orang.

“Ada dakwaan bahawa bantuan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Setar lewat diedarkan. Penduduk turut mengadu sukar mengakses talian hotline.

"Sehubungan itu, saya mencadangkan agar talian telefon ditambah untuk mempercepatkan agihan. Pada Rabu, saya menyerahkan senarai nama penduduk yang perlukan bantuan kepada PKOB untuk tindakan segera,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kelewatan terhadap agihan bakul makanan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan pada petang Rabu.

Sedangkan, katanya, penguatkuasaan PKPD bermula pada Isnin.

“Difahamkan dalam tempoh dua hari itu, hanya sekitar 200 bakul makanan diedarkan. Sepatutnya sebaik PKPD diumumkan, ia disertakan dengan SOP dan bantuan kerana ramai terkesan terutama keluarga yang dikuarantin atau hilang pekerjaan,” katanya.