6,000 hektar padi diserang ulat batang

Izham (lima dari kiri) pada Majlis Penyerahan Dron semasa lawatan ke Koperasi Wawasan Tani Simpang Lima di sini pada Khamis.
Izham (lima dari kiri) pada Majlis Penyerahan Dron semasa lawatan ke Koperasi Wawasan Tani Simpang Lima di sini pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kira-kira 6,000 hektar tanaman padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor terjejas berikutan serangan ulat batang pada musim tanaman kali ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, serangan ulat itu juga menyebabkan kira-kira 1,700 kawasan di dua mukim iaitu Sungai Panjang dan Bagan Terap terjejas teruk.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil tindakan awal termasuk memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi mengawal serangan serangga berkenaan.

"Kita dapat mengawal kira-kira 70 peratus sawah terjejas secara berperingkat kecuali kerosakan yang terlalu serius," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke Koperasi Wawasan Tani Simpang Lima di sini pada Khamis.

Beliau memberitahu, pemantauan dilakukan secara berterusan bagi memastikan masalah serangan tidak berulang.

Katanya, antara langkah dilaksanakan kerajaan negeri termasuk melakukan penambahbaikan dari segi rawatan tanah, penggunaan baja organik dan kawalan serangga.

"Semua inisiatif ini disediakan di bawah program peningkatan hasil padi negeri Selangor. Kerajaan negeri juga memberikan bantuan varieti benih padi yang sah MR219," katanya.

Izham turut memaklumkan antara punca padi menjadi masalah kerana benih tidak sama walaupun ditanam di kawasan berdekatan.

Artikel Berkaitan:

"Ini menyebabkan masalah pada kualiti padi dan kita telah memberi benih kepada 22 blok membabitkan seramai 878 pesawah di Mukim Sungai Panjang dan Bagan Terap," katanya.