Empat pegawai adili Kelantan FC, NSFC digantung serta-merta

Mohd Saifuddin
Mohd Saifuddin
A
A
A

EMPAT pegawai perlawanan yang mengadili aksi Liga Premier di antara Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 27 Ogos lalu digantung tugas selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta kerana membenarkan pertukaran pemain melebihi had.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pengadil yang diadakan secara atas talian, dipengerusikan Datuk S. Sivasundaram pada Khamis.

Beliau berkata, FAM telah menilai dan meneliti keseriusan insiden berkenaan turut membuat keputusan kesemua pegawai itu akan hanya dilantik untuk tugasan bagi perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia selama sembilan bulan selepas tamat penggantungan tersebut.

“Mereka juga akan dirujuk kepada Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri dan Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum boleh dinaikkan semula bagi mengadili perlawanan Liga Premier selepas tempoh tersebut.

“FAM berharap agar insiden yang telah berlaku ini akan menjadi pengajaran berguna kepada kesemua pengadil kebangsaan supaya menjalankan tugas dengan penuh fokus dan komited pada setiap perlawanan yang akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, NSFC dilaporkan menghantar bantahan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana Kelantan FC melakukan pertukaran pemain empat kali ketika aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan MFL telah mengenakan denda sebanyak RM30,000 terhadap Kelantan FC.

Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setiap pasukan boleh membuat lima pertukaran pemain, tetapi ia hanya dibenarkan sebanyak tiga kali dalam satu perlawanan.

Sementara itu, Mohd Saifuddin menerusi kenyataan berasingan berkata, saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) sekali lagi dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, dengan mengambil kira hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia selaras dengan status penganjuran pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat kebenaran rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“FAM turut berasakan bahawa keputusan ini adalah yang terbaik pada ketika ini dan pada masa yang sama memberi lebih ruang kepada setiap pasukan untuk membuat perancangan menghadapi pertandingan ini bagi musim depan,” katanya.

FAM sebelum ini mengumumkan pembatalan Piala Belia dan Piala Presiden atas faktor yang sama. - Bernama