'MB jangan abaikan pandangan rakyat'

Noh, Ahmad Yunus
Noh, Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) Selangor mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor di bawah pimpinan, Datuk Seri Amirudin Shari tidak membelakangkan pandangan rakyat dan pihak berkepentingan semata-mata kerana ingin meraih keuntungan dan kepentingan politik.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Yang Dipertua Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menerusi kenyataan bersama pada Khamis memaklumkan, perkara itu termasuk berkaitan isu nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

"Warisan Hutan Paya Gambut negeri ini sangat bermakna dan berharga buat semua lebih-lebih lagi generasi kita yang akan datang. Menyentuh apalagi membangunkan kawasan seumpama ini mengkhianati warisan dan khazanah negeri," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, MN Selangor mengalu-alukan langkah kerajaan Selangor yang akhirnya bersetuju mewartakan semula HSKLU setelah menyahwartakannya secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelbagai agensi berkaitan

"Ini termasuk usul pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disokong oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan diluluskan sebagaimana direkodkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Ogos lalu," ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan, integriti kerajaan Selangor juga dipertikaikan kerana sebelum telah meluluskan nyahwarta pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei lalu.

"Pihak yang menyokong pelan pembangunan di kawasan HSKLU ini sehingga meyakinkan MB (Menteri Besar) dan kerajaan negeri meluluskannya walau dibantah rakyat perlu memikul tanggungjawab dan disiasat," kata kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan: