X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

KPDNHEP Johor keluarkan 12 notis susulan kenaikan harga ayam

KPDNHEP Johor melakukan pemeriksaan terhadap peniaga ayam bagi menyiasat punca kenaikan harga.- Foto KPDNHEP Johor
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 12 notis terhadap peniaga, pemborong dan peladang di negeri ini bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga ayam yang dikesan sejak akhir-akhir ini.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 menerusi pemeriksaan yang dilakukan sejak Rabu.

Menurutnya, KPDNHEP Johor mengambil maklum aduan berkenaan kenaikan harga ayam terutamanya di lokasi tumpuan iaitu di pasar awam dan pasar basah.

"Pemeriksaan ke atas semua jenis pasar seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan juga pasar raya yang menjual ayam akan dipertingkatkan.

"Sebanyak 12 notis dikeluarkan kepada masing-masing empat peniaga ayam, peladang dan pemborong itu juga bagi mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohd Hairol, sebanyak 10,165 premis di seluruh negeri telah diperiksa meliputi 8,667 peruncit, 1,195 pemborong dan 303 pengilang bagi tempoh Januari hingga Rabu.

"Susulan pemeriksaan yang dilakukan itu, sebanyak 181 notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku.

"Peniaga yang didapati melakukan aktiviti mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011 yang membawa hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali; bagi kesalahan kedua didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1,000,000 bagi kesalahan kali kedua," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!