X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Kedai emas dirompak, pemilik rugi RM200,000

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan salah seorang suspek mengambil dulang barang kemas dalam kejadian itu.
A
A

GOMBAK - Pemilik kedai emas di Simpang Tiga, Batu 6 di sini kerugian RM200,000 selepas premisnya dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian jam 6.15 petang itu, pemilik kedai emas yang merupakan wanita Indonesia berstatus pemastautin tetap berada di dalam premis berkenaan bersama ibu, anak dan adik iparnya.

Menurutnya, tiga lelaki dipercayai warga tempatan telah menyerbu masuk ke dalam premis di mana dua daripadanya masuk ke bahagian rak pameran sebelum mengambil pelbagai jenis barang kemas.

"Seorang lagi suspek menunggu di pintu masuk utama sambil memegang sebilah parang.

"Pemilik kedai emas yang berusia 46 tahun itu turut cedera di bahagian muka akibat ditumbuk oleh salah seorang suspek," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zainal Mohamed berkata, ketiga-tiga suspek menutup muka dengan menggunakan topi keledar dengan visor gelap.

"Suspek memakai topi keledar berwarna hitam, merah dan biru melarikan diri menggunakan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15.

"Usaha mengesan suspek telah digerakkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!