Pelajar kolej vokasional maut kemalangan

Afiq Aiman
Afiq Aiman
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang pelajar kolej maut manakala adiknya mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan Jalan Pusing - Batu Gajah berhampiran stesen minyak, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Mior Afiq Aiman, Mior Ahmad Najmi, 20, pelajar Kolej Vokasional Seri Iskandar meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Batu Gajah manakala adik lelakinya, Mior Hasnul Haziq, 14, dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, bagi menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.20 tengah hari melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang naiki mangsa bersama adiknya dan sebuah kereta jenis Proton Waja di pandu wanita berusia 46 tahun.

"Siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan dari rumahnya hendak ke Pusing dan apabila hendak keluar simpang untuk membelok ke kanan, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa bersama adiknya dari arah Pusing telah melanggar bahagian kanan kereta.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa dan adiknya mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Batu Gajah bagi menerima rawatan, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Adnan, Afiq Aiman disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika menerima rawatan.

"Punca kemalangan disebabkan pemandu kereta berkenaan disyaki telah keluar simpang dengan tidak berhati-hati semasa mangsa dan adiknya berada di jalan lurus hingga melanggar bahagian kanan kereta.

"Wanita berkenaan telah ditahan bagi mendapatkan sampel darah bagi ujian kimia dadah dan alkohol dan dia kemudiannya telah diberikan jaminan polis sehingga 3 April ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Adnan, hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 3.30 petang mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di dada dengan konsisten dengan kemalangan jalan raya.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan," katanya.