Perniagaan halal diseru ambil peluang ketika ekonomi memulih

Industri halal akan terus mendapat keuntungan memandangkan institusi kewangan Islam sudah semakin matang. - Gambar hiasan 123rf
Industri halal akan terus mendapat keuntungan memandangkan institusi kewangan Islam sudah semakin matang. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

PERNIAGAAN halal diseru merebut peluang peningkatan selain daripada menerima amalan kelestarian serta pendigitalan yang dapat menyediakan platform yang lebih mantap seiring dengan pemulihan ekonomi, kata Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis.

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, industri halal akan terus mendapat keuntungan memandangkan institusi kewangan Islam sudah semakin matang sehingga mampu menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan untuk memenuhi keperluan pelanggannya.

"Kami telah menyaksikan peningkatan institusi kewangan Islam dalam menyokong sektor halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Walaupun hanya 21.9 peratus syarikat bersijil halal di Malaysia yang menggunakan kewangan Islam pada 2018, jumlah permohonan daripada segmen ini menokok dua kali ganda menjadi 10,800 pada 2020, mencecah nilai RM63 bilion," katanya dalam ucapan perasmian pada sesi panel bertajuk 'Evolusi Kewangan Islam dalam Ekonomi Halal dan Sumbangannya kepada Pemulihan Ekonomi Global' yang diadakan secara maya pada Khamis.

Sesi ini diadakan bersempena dengan Persidangan Perniagaan Halal Dunia 2021

Pasaran halal tempatan Malaysia pada masa ini bernilai sekitar RM300 bilion, menyumbang sebanyak tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan diramalkan akan terus naik menjadi RM400 bilion, menyumbang 11 persen kepada KDNK menjelang 2030.

Abdul Rasheed memberitahu, cadangan nilai kewangan Islam telah berkembang sehingga melangkaui di luar perantaraan kredit berasaskan bank.

Skop perniagaan sejagat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 membolehkan institusi kewangan Islam menggerakkan pelbagai sumber dana bagi menyampaikan penyelesaian yang bermakna.

Artikel Berkaitan:

"Salah satu contoh ialah penyediaan perkhidmatan tambah nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti pasaran serta khidmat nasihat dalam fasilitasi perdagangan disamping kemampuan kewangan rantaian bekalan,” katanya lagi.

Setakat ini, lima bank Islam sudah menawarkan perkhidmatan tersebut melalui Platform Bersepadu Perbadanan Pembangunan Halal dan lebih banyak lagi dijangka menyertai platform digital itu tahun ini.

Melangkah ke hadapan, beliau meminta institusi kewangan Malaysia agar memanfaatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan yang akan mantap termasuk kerjasama strategik pelbagai hala di sektor halal antara negara dalam menawarkan pembiayaan perdagangan Islam kepada peserta industri halal.

Menurut Abdul Rasheed lagi, peningkatan minat dari negara-negara ASEAN, yang merupakan 42 peratus daripada populasi Islam global serta permintaan dari negara-negara Asia yang dikuasai bukan Muslim seperti Jepun, Korea Selatan dan Vietnam memberikan asas penggunaan halal yang besar untuk perniagaan halal domestik memanfaatkannya.

"Sekarang ini, tiga institusi kewangan Malaysia telah memanfaatkan jaringan global dan kerjasama strategik mereka untuk membantu pengeksport halal mendapatkan akses ke pasaran baharu," tambahnya.

Segmen makanan dan minuman halal Malaysia, yang merangkumi 80 peratus pengeluaran halal di negara ini serta 86 peratus daripada jumlah eksport halal, mungkin terjejas oleh perubahan iklim.

"Dalam ke arah menggabungkan amalan kelestarian, institusi kewangan Islam juga telah menjalankan banyak usaha dan sumber daya yang ada, yang disokong oleh konsep perantaraan berasaskan nilai," katanya. - Bernama