Kejayaan Labuan capai 100 peratus vaksinasi bukti strategi berkesan

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Strategi kerajaan dalam mempertingkatkan kadar vaksinasi ketika kes meningkat di Labuan sekitar Mei dan Jun lalu terbukti berkesan, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia berikutan Labuan kini berjaya mencapai 100 peratus populasi dewasa di Wilayah Persekutuan Labuan telah divaksinasi penuh di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurutnya, ia sekaligus dibuktikan dengan kejayaan Labuan mencatatkan penurunan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital selain pengurangan penggunaan katil katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ventilator.

"Sepertimana yang kita semua maklum, Labuan merupakan wilayah pertama yang berjaya beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Warga Labuan kini dapat menikmati kelonggaran di semua sektor ekonomi dan sosial tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu.

"Pencapaian ini sememangnya tidak dapat dicapai tanpa kerja keras Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), ditambah kerjasama erat kesemua agensi kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk serta rakyat Labuan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhyiddin berkata, kejayaan Labuan memberi suntikan vaksinasi kepada lebih 68,500 penduduk dewasa di wilayah itu merupakan pencapaian yang membanggakan dan memberi inspirasi kepada semua pihak dalam perang menentang Covid-19.

Katanya, ia membuktikan bahawa usaha dan perancangan kerajaan dalam 'roll-out' PICK kini mula menunjukkan hasil.

Artikel Berkaitan:

"Berkat usaha semua pihak baik kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta dan juga rakyat, saya percaya Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat dalam mencapai imuniti kelompok sekaligus memulihkan ekonomi negara.

"Tahniah kepada penduduk Labuan. Terus patuhi SOP dan teruskan kawalan risiko kendiri untuk memastikan penularan wabak Covid-19 sentiasa terkawal. Insya-ALLAH, saya yakin negeri-negeri lain juga akan dapat mencapai kejayaan ini dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan orang ramai di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk terus mematuhi SOP ditetapkan susulan pengumuman peralihan ke Fasa 2 PPN bermula Jumaat ini.