Melaka sedia buka gerbang pelancongan domestik

Muhammad Jailani (empat dari kanan) bersama pemain industri pelancongan Melaka yang menerima sijil pengesahan dos suntikan vaksin lengkap di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Khamis.
Muhammad Jailani (empat dari kanan) bersama pemain industri pelancongan Melaka yang menerima sijil pengesahan dos suntikan vaksin lengkap di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka bersedia untuk membuka gerbang pelancongan domestik sepenuhnya bulan depan sekiranya berjaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, persiapan awal yang dilakukan termasuk memastikan kesemua pemain industri pelancongan di Melaka menerima vaksin dan sehingga kini dianggarkan 80 peratus mewakili 35,863 pemain industri telah lengkap dos vaskin.

Menurutnya, sehingga kini hanya lima peratus sahaja mewakili 2,242 individu yang belum menerima sebarang dos vaksin manakala 15 peratus lagi telah menerima satu dos vaksin daripada keseluruhan 44,829 individu membabitkan sektor perhotelan, inap desa, pusat pelancongan dan pusat membeli-belah.

Beliau berkata, angka itu sekali gus menunjukkan kesiapsiagaan kumpulan berkenaan untuk menyambut dan menerima pelancong domestik dari dalam dan luar Melaka seiring dengan peralihan fasa itu.

"Jadi bagi memastikan keyakinan pelancongan, setiap pengiat industri yang telah lengkap dos vaksin akan diberikan sijil pengesahan serta perlu memaparkan kain rentang bahawa kesemua pekerja mereka telah lengkap vaksin.

"Ini salah satu inisiatif bagi memberi jaminan bahawa pekerja dalam sektor itu telah menerima vaksin. Ia secara tidak langsung memberikan promosi kepada pengiat industri itu untuk membuka perniagaan mereka dengan mengamalkan normal baharu yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi penyerahan sijil pengesahan dos suntikan vaksin lengkap kepada pengiat industri pelancongan Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Khamis.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, Melaka akan terus meningkatkan keyakinan pelancong serta memperhebatkan promosi selain penjenamaan semula pakej seperti 'Melakan Visit Melaka,' kempen Melaka Safe Haven & Relax@Melaka dan sebagainya dengan tawaran harga hebat untuk menghidupkan semula sektor itu seterusnya memberikan manfaat kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, sebanyak 120 premis pelancongan juga diberikan sijil Patuh dan Amal SOP Covid-19 secara berperingkat menerusi kerjasama Badan Promosi Pelancongan (BPP) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

"Kita bangga kerana Melaka menjadi negeri pertama 100 peratus Patuh dan Amal SOP Covid-19 bagi premis pelancongan di peringkat kebangsaan.

"Justeru, kita minta kerajaan Pusat dan kerajaan negeri memberikan input yang perlu bagi memastikan pelancong datang ke Melaka dalam keadaan aman dan terjamin," katanya.