Anak Najib tarik balik rayuan kes tunggakan cukai RM13.16 juta

Mohamad Nizar
Mohamad Nizar
A
A
A

PUTRAJAYA - Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar, telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus dalam saman tuntutan cukai terhadapnya oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguamnya, Wee Yeong Kang ketika dihubungi berkata, notis untuk tidak meneruskan rayuan itu telah difailkan pada 7 September lepas.

"Kami telah memfailkan notis itu pada 7 September dan memaklumkannya kepada mahkamah hari ini (Khamis). Kami telah menarik balik rayuan kami,” katanya.

Pengurusan kes itu pada hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman dihadiri Yeong Kang dan Peguam Kanan Hasil Muhammad Nabil Abdul Halim.

Mohamad Nizar telah merekodkan perintah persetujuan dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) pada 26 Ogos lepas berhubung pembayaran dalam kes tunggakan cukai sebanyak RM13.16 juta yang difailkan LHDN terhadapnya.

Perintah persetujuan itu adalah berkaitan taksiran cukai tambahan bagi tahun 2011 hingga 2017 termasuk faedah 10 peratus dan penalti lima peratus yang berjumlah RM13,159,821.94.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Mohamad Nizar dan memerintahkan beliau untuk membayar tunggakan taksiran cukai dari 2011 hingga 2017 sebanyak RM13.16 juta.

Beliau kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 11 Ogos lepas.

Artikel Berkaitan:

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes yang didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan. - Bernama