Proses biskut, kek dadah: Pasangan kekasih diberkas

Antara biskut dan kek berasaskan kanabis yang dirampas.
Antara biskut dan kek berasaskan kanabis yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket memproses dan pengedaran kek serta biskut berasaskan kanabis tumpas selepas polis menahan pasangan kekasih dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada Selasa.

Polis turut merampas dadah berjumlah RM229,299 selain menyita kenderaan bernilai RM250,000 dan wang tunai RM11,790.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sahar Abdul Latif berkata, serbuan pertama menahan suspek pertama seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun dalam kereta jenis Honda City di hadapan Lobi sebuah Residensi di Jalan Pudu, Kuala Lumpur dan

Beliau memberitahu, dua kotak dan satu beg kertas mengandungi 25 balang biskut berasaskan kanabis seberat 7,375 gram serta 53 biji kek berasaskan kanabis seberat 5,320 gram dirampas.

"Susulan itu, polis melakukan serbuan di sebuah Residensi, kawasan PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya dan menahan seorang wanita berumur 28 tahun.

"Premis tersebut disewa selama lapan bulan oleh suspek pertama dengan bayaran sewa RM3,000 sebulan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas 131 balang biskut berasaskan kanabis seberat 35,900 gram, 41 biji kek berasaskan kanabis seberat 4,305 gram, lapan ketulan mampat kanabis seberat 7,820 gram, empat periuk berisi cecair kanabis seberat 31,000 gram, dua ketuhar elektrik, sebuah mesin pengadun dan beberapa peralatan untuk membuat kek dan biskut.

"Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM491,089," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, siasatan mendapati kedua-dua suspek menjadikan kediaman berkenaan sebagai tempat memproses kek dan biskut dadah itu.

"Modus operandi sindiket ini ialah mendapatkan bekalan dadah jenis kanabis dan memproses sendiri dadah untuk dijadikan kek dan biskut sebelum dipasarkan pada harga RM100 bagi sebalang untuk biskut dan RM50 untuk kek.

"Pelanggan sindiket terdiri daripada kenalan rapat suspek pertama melalui Instagram," katanya.

Jelasnya, ujian saringan mendapati suspek pertama positif kanabis manakala suspek kedua negatif dadah tetapi kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kedua-dua suspek direman enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Serbuan ke atas suspek dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur menerusi Ops Storm.