Tiga nelayan hilang ditemui selamat

Nordin (kiri) bersama dua lagi nelayan yang diselamatkan setelah dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan ketika keluar memancing di perairan Kuala Kuantan pada Rabu. -Foto Maritim
Nordin (kiri) bersama dua lagi nelayan yang diselamatkan setelah dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan ketika keluar memancing di perairan Kuala Kuantan pada Rabu. -Foto Maritim
A
A
A

KUANTAN - Tiga nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di perairan Kuala Kuantan di sini pada Rabu ditemui dalam keadaan selamat hari yang sama.

Mangsa, Nordin Aziz, 63, Norazian Nordin, 38 dan Zaharudin Ismail, 47 ditemui kira-kira jam 9 malam oleh nelayan tempatan di lokasi kira-kira 8.5 batu nautika dari muara Kuala Pahang.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, mangsa bertiga keluar memancing kira-kira jam 6 pagi dan sepatutnya kembali ke jeti nelayan Pantai Sepat di sini sekitar jam 12 tengah hari.

Menurutnya, mangsa gagal kembali setelah bot gentian kaca yang dinaiki mereka mengalami kerosakan sebelum hanyut.

"Mangsa juga gagal menghubungi keluarga dan pihak berkuasa untuk bantuan kerana masalah talian telefon.

"Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan tiga nelayan berkenaan setelah menerima aduan daripada isteri salah seorang mangsa kira-kira jam 8.25 malam," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Amran berkata, sebaik menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan, bot ronda maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi segera diatur gerak untuk melaksanakan operasi carilamat.

"Maklumat berkenaan kejadian turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan manakala beberapa rakan mangsa turut membantu membuat pencarian awal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mangsa dijumpai dalam keadaan selamat oleh nelayan tempatan di sekitar lokasi yang dilaporkan kira-kira jam 9 malam.

"Setelah ditemui, mangsa bersama bot dibawa ke jeti nelayan Tanjung Lumpur di sini," katanya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim serta agensi-agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.