JKNS keluar 4,908 kompaun sejak Mac 2020

Veerapan (dua dari kanan) melihat Mohammad Faid (kanan) memeriksa kad suntikan vaksin seorang pelanggan di sebuah restoran.
Veerapan (dua dari kanan) melihat Mohammad Faid (kanan) memeriksa kad suntikan vaksin seorang pelanggan di sebuah restoran.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) telah mengeluarkan 4,908 kompaun dalam pemeriksaan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dilakukan sejak Mac 2020 sehingga Sabtu lalu.

Exco Kesihatan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 2,677 kompaun telah dibayar dengan nilai kutipan RM2.29 juta.

Menurutnya, dalam tempoh sama sebanyak 592 kes didaftarkan di mahkamah dan 68 kes telah disabitkan bersalah.

"Daripada jumlah itu, 63 kes telah dijatuhi hukuman denda yang bernilai keseluruhan RM40,250, manakala kes-kes lain masih di peringkat sebutan di mahkamah.

"Sebanyak 268 premis pula telah dikeluarkan arahan penutupan sementara bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19," katanya kepada pemberita pada operasi penguatkuasaan di daerah ini pada Khamis.

Sementara itu, mengenai operasi yang dilaksanakan, sebanyak 110 premis telah diperiksa dan sebuah premis dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi kehendak Akta 342 dan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuatkuasa.

"Negeri Sembilan telah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan keadaan ini telah memberi peluang kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan serta melakukan aktiviti harian tanpa sekatan yang ketat berbanding semasa fasa satu dan fasa dua.

"Walau bagaimanapun pematuhan terhadap Akta 342, peraturan-peraturan di bawahnya dan SOP yang sedang berkuatkuasa adalah amat penting diamalkan agar penularan penyakit Covid-19 dapat dikawal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi itu disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan melibatkan keseluruhan seramai 94 pegawai serta anggota.