Sila log masuk terlebih dahulu.

Gangguan bekalan air enam kawasan di Terengganu mula pulih

Mamad (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar di Dewan Serbaguna Tepoh pada Khamis.
Mamad (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar di Dewan Serbaguna Tepoh pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gangguan bekalan air melibatkan 29,151 akaun pengguna di enam kawasan dalam daerah Kuala Nerus dan sebahagian di Kuala Terengganu sejak 23 Ogos lalu mula pulih pada Khamis.

Bagaimanapun, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh berkata, empat peratus kawasan yang berada jauh dari tangki utama antaranya kawasan Maras, Kampung Bukit Wan, Lingai, Bukit Sudu, Bukit Chempaka, Wakaf Tembesu, Banggil Air Lilih dan Padang Sentosa berlaku sedikit kelewatan.

"Kawasan-kawasan ini antara yang akan berlaku sedikit kelewatan agihan air, namun unit agihan akan mengekalkan aset sedia ada untuk membantu kawasan berkenaan sebelum ia pulih sepenuhnya awal pagi esok (Jumaat)," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Dewan Serbaguna Tepoh pada Khamis.

Menurut Mamad, bekalan air bersih telah disalurkan melalui pengaktifan sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dengan keupayaan 60 juta liter air sehari (MLD) melalui muka sauk Pulau Bahagia.

Katanya, loji baharu itu berkeupayaan menyalurkan 120MLD yang dijangka siap pada Mei 2022.

"Operasi LRA Bukit Berapit ini adalah penyelesaian strategik jangka masa panjang yang telah rancang bagi pembekalan air bersih di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

"Projek ini juga merupakan sebahagian daripada komponen projek bekalan air Kuala Terengganu Utara (KTU)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jajaran paip Tangki Utama Berangan akan menjadi alternatif kepada bekalan air bersih dari LRA Bukit Berapit pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya kedua-dua sistem ini, maka bekalan air di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu akan lebih terjamin," katanya.

Mengulas mengenai kerja-kerja pembaikian paip pecah di dasar Sungai Terengganu, beliau berkata, ia kini sedang giat dilaksanakan dan akan pulih mengikut jadual.

Sebelum itu, bekalan air di dua daerah berkenaan pulih selama 10 hari selepas dilanda krisis air kali pertama selama kira-kira dua minggu sejak 2 Ogos lalu disebabkan paip bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Gangguan air kembali melanda sejak 23 Ogos lalu selepas masalah sama dikesan berlaku di paip yang sama namun lokasi berlainan daripada kejadian terdahulu.

Kali pertama gangguan bekalan air di dua daerah berlaku selama kira-kira dua minggu sejak 2 Ogos lalu.