Ahmad Zahid tak terlibat kes pengubahan wang haram: Peguam

Ahmad Zahid hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, - Foto Bernama
Ahmad Zahid hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terlibat dalam 27 kes pengubahan wang haram kerana sumbangan yang diterima Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak menyalahi undang-undang.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik berkata demikian ketika berhujahan di akhir kes pendakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hisyam yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, wang yang dimasukkan ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co selaku pemegang amanah yayasan itu, merupakan sumbangan daripada syarikat dan individu.

Menurutnya, Ahmad Zahid tidak mengetahui atau tidak mempunyai kaitan dengan penyumbang-penyumbang tersebut.

“Ia disahkan oleh salah seorang penyumbang, Pengarah Bukan Eksekutif, Syarikat MYEG, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah, 69 (saksi pendakwaan ke-78) yang menyatakan, beliau membuat sumbangan bagi tujuan amal.

“Saksi pendakwaan ke-87 iaitu rakan kongsi Lewis & Co, B Muralidharan turut mengulangi kenyataan sama, bahawa sumbangan yang masuk adalah untuk tujuan kebajikan dan keagamaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, tiada bukti menunjukkan wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram atau aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Untuk rekod, selain MyEG, yayasan itu turut menerima sumbangan antaranya Yayasan Al-Bukhari sebanyak RM500,000 dan Chia Bee Enterprise Sdn Bhd milik dermawan Wong Sang Woo, berjumlah RM10 juta.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau berkata, saksi perbankan mengakui bahawa pihak bank tidak menerima surat dari Lewis & Co yang mengatakan mereka curiga dengan dana tersebut.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding bersambung Isnin depan.