X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Menara komunikasi di Pos Lemoi dijangka siap hujung Oktober

Annuar Musa - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Menara komunikasi di Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang yang akan memberikan perkhidmatan 4G di kawasan sekitarnya dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Oktober.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menerusi Twitternya berkata, menara itu kini di peringkat akhir pemasangan gentian optik.

Beliau membalas ciapan seorang netizen yang meluahkan mengenai kesusahan guru dan pelajar di Sekolah Kebangsaan Lemoi menjalani kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), akibat ketiadaan akses internet.

Pemilik akaun @bungolale dalam ciapannya berkata: “Nak online tak boleh, jadi harap kepada buat modul sahaja. Tiap kali tengok anak-anak masih gigih hadir untuk ambil dan hantar modul rasa terharu dengan semangat mereka. Inilah sumber kekuatan kami. Semoga lekas baik semuanya.”

Mengulas lanjut, Annuar memuji tindakan pengguna akaun itu dan menyifatkan sentuhan seorang guru boleh memberikan sumbangan tidak ternilai buat negara.

“Alhamdulillah @MCMC_RASMI (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) bergerak pantas untuk menyiasat keadaan di sekitar Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highlands yang mempunyai seramai 127 orang pelajar,” ciap beliau.

Annuar berkata, pihaknya komited memberi kemudahan akses kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi perkhidmatan jalur lebar berkualiti. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!