Vaksin hanya cukup untuk 20 peratus penduduk negara miskin: COVAX

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GENEVA - COVAX pada Rabu memaklumkan hanya dapat menyediakan vaksin Covid-19 kepada 20 peratus penduduk di negara-negara miskin untuk tahun ini, jauh berbanding sasaran, yang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sesuatu yang tidak boleh diterima.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, banyak perbincangan mengenai ekuiti vaksin dari negara berpendapatan tinggi "tetapi terlalu sedikit tindakan."

Beliau meminta moratorium terhadap dos suntikan penggalak atau ‘booster’ di seluruh dunia dilanjutkan, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Hari ini, kemampuan COVAX untuk melindungi golongan yang paling terancam di dunia terus dihalang oleh larangan eksport, keutamaan perjanjian dua hala oleh pengeluar dan negara, halangan yang berterusan dalam meningkatkan pengeluaran vaksin oleh beberapa pengeluar utama, dan kelewatan mengajukan kelulusan peraturan," memetik kenyataan WHO dan Gavi.

Menurut jangkaan terkini, perkhidmatan perkongsian vaksin COVAX menganggarkan mendapat akses kepada 1.425 bilion dos vaksin Covid-19 pada 2021, cukup untuk melindungi hanya 20 peratus penduduk di negara-negara miskin.

Tedros berkata, di seluruh dunia, 5.5 bilion dos vaksin telah diberikan, tetapi 80 peratus adalah di negara berpendapatan tinggi dan sederhana.

"Negara berpendapatan tinggi telah berjanji untuk menyumbangkan lebih 1 bilion dos, tetapi jumlahnya kurang daripada 15 peratus.

"Pengilang telah berjanji untuk mengutamakan COVAX dan negara berpendapatan rendah. Kami tidak lagi memerlukan janji. Kami hanya mahukan vaksin tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tedros berkata, sebulan lalu, beliau meminta moratorium global bagi dos penggalak hingga akhir September untuk mengutamakan vaksinasi kepada orang paling berisiko di seluruh dunia yang belum menerima dos vaksin Covid-19 pertama mereka.

"Terdapat sedikit perubahan dalam situasi global sejak itu. Jadi hari ini, saya meminta lanjutan moratorium sekurang-kurangnya hingga akhir tahun ini untuk membolehkan setiap negara memvaksinasi sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk," kata Tedros.

Beliau berkata, sebagai pengeluar, pengguna dan penyumbang vaksin terbesar di dunia, 20 ekonomi terkemuka di dunia memegang kunci ekuiti vaksin dan mengakhiri pandemik tersebut.

"Sekarang adalah masa untuk menunjukkan kepemimpinan sejati, tidak sekadar janji kosong," katanya.

Tedros mengatakan dunia mempunyai penyelesaian untuk menghentikan jangkitan dan menyelamatkan nyawa, tetapi tidak digunakan atau tidak dapat dikongsi dengan sebaiknya. - Bernama