Mungkin ada pengikut ajaran sesat PMYT di Johor: Polis

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir pengikut ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung penyebaran ajaran sesat itu di Johor.

"Setakat ini, memang tiada sebarang laporan polis yang dibuat terhadap penyebaran ajaran sesat PMYT. Kalau kita tengok di negeri lain, pengikut PMYT mengikuti ajaran sesat ini secara dalam talian.

"Kemungkinan terdapat pengikut ajaran sesat ini di Johor memandangkan jumlah pengikutnya yang sangat ramai di media sosial," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor di sini pada Khamis.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, ketua ajaran PMYT iaitu seorang wanita dipercayai pemilik akaun Facebook Masitah Ab Jalar atau lebih dikenali sebagai Sittah Annur telah ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Tangkapan itu susulan satu laporan polis dibuat seorang pengadu pada Isnin lalu selepas menonton sebuah video berkaitan ajaran tersebut yang dimuat naik di YouTube.

Ketua ajaran tersebut mendakwa dirinya mampu berhubung dengan malaikat, Nabi Muhammad SAW dan ALLAH SWT.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, wanita berusia 39 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Media.

Artikel Berkaitan: