X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Jangan terpedaya tawaran kerja sambilan dalam talian

M Zambri Gambar Kanan : Contoh WhatsApp dihantar kepada mangsa berkait tawaran kerja sambilan dalam talian Foto: ihsan pembaca
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya sebelum membuat keputusan untuk menerima tawaran kerja sambilan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di platform e- dagang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, sejak awal tahun sehingga Ogos lalu, polis Terengganu telah menerima lapan laporan penipuan tawaran kerja di platform e- dagang.

"Siasatan awal mendapati modus operandi digunakan sindiket penipuan ini ialah dengan mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Instagram dan Facebook kepada mangsa sebelum individu yang berminat akan menekan pautan diberikan menggunakan logo platform e-dagang dikenali.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran kerja tersebut kemudiannya dijanjikan komisen lapan peratus selain mendapat pulangan tunai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa seterusnya diarahkan untuk melakukan tugasan mudah dengan memasukkan platform urusniaga jual beli ke dalam bakul atau kad pembelian diberi sebelum menghantar tangkap layar sebagai bukti kerja-kerja sudah dibuat seperti diarahkan suspek.

"Ada juga mangsa perlu membuat pembayaran terlebih dahulu bagi pembelian produk yang diiklankan di platform e-dagang ke akaun bank dikawal sindiket terbabit.

"Terlalu teruja dengan janji-janji ditawarkan, mangsa tanpa berfikir panjang sanggup membuat bayaran produk berkenaan meskipun tiada kena mengena dengannya.

"Bagaimanapun, selepas melakukan segala arahan tugasan diberi termasuk ada yang sanggup mengeluarkan wang simpanan sehingga mencecah jumlah ribuan ringgit, mangsa bagaimanapun tidak menerima semua bayaran dijanjikan sebelum ini," katanya.

Menurut beliau, difahamkan pembayaran barangan dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut dalam platform berkenaan dan sindiket menggunakan keldai akaun bagi urusniaga perbankan berkenaan.

Pada masa sama, M.Zambri turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran kerja dalam talian terutama yang menawarkan kerja mudah tetapi dalam masa sama menjanjikan pulangan lumayan.

"Sekiranya ada individu yang menerima tawaran berkenaan dinasihatkan agar dapat menyemak tawaran dengan agensi berkaitan bagi memastikan kesahihannya.

"Paling penting, orang ramai diingatkan agar jangan mudah membuat bayaran ke akaun atas nama individu atau syarikat yang tidak dikenali," katanya.

Kesemua kes berkaitan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!