Sila log masuk terlebih dahulu.

MKN diminta benarkan syarikat agensi pelancongan beroperasi

Pulau Mabul antara lokasi tarikan pelancong di Sabah. - Foto 123RF (Gambar kecil: Fathir Badri)
Pulau Mabul antara lokasi tarikan pelancong di Sabah. - Foto 123RF (Gambar kecil: Fathir Badri)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta memberi pertimbangan bagi membenarkan syarikat agensi pelancongan untuk beroperasi semula.

Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA), Dr Fathir Badri Alhadad berkata, sehingga kini syarikat agensi pelancongan masih belum dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, SAFTTA menyambut baik langkah kerajaan Persekutuan memutuskan kawasan Lembah Klang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, perkembangan itu sudah pasti memberikan impak besar kepada sektor pelancongan terutama kepada pemilik hotel dan inap desa, sekali gus dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang lesu.

"Kami percaya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri yang memainkan peranan penting dalam meyakinkan kerajaan khususnya MKN untuk memberikan kelonggaran ini.

"Namun, kami juga mengharapkan agar MKN dapat memberikan kebenaran kepada syarikat agensi pelancongan untuk mula membuka perniagaan mereka dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua PPN berkuatkuasa Jumaat dengan beberapa kelonggaran termasuk kebenaran merentas daerah kepada mereka yang sudah mendapat suntikan dua dos vaksin.

Mengulas lanjut, Fathir Badri berkata, beliau percaya sekiranya pejabat agensi pelancongan dibenarkan untuk dibuka semula, ia akan dapat membantu kerajaan menyemarakkan kembali industri pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa sama, penduduk Lembah Klang diingatkan agar sentiasa menjaga SOP ketika bercuti dan penggiat pelancongan pula perlu memastikan premis dan kemudahan berada dalam keadaan baik serta sentiasa disanitasi," katanya.

Sementara itu, Fathir Badri berkata, SAFTTA menyatakan penghargaan kepada kerajaan yang akan menyalurkan geran menerusi pakej Pemulih sebanyak RM3,000 kepada agensi pelancongan berdaftar dalam masa terdekat.

"Begitu juga kepada kerajaan negeri Selangor yang memberikan RM15,000 kepada persatuan-persatuan pelancongan di negeri Selangor.

"Bantuan ini sangat bermakna dalam industri pelancongan memandangkan kami adalah yang paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19," jelas beliau.