Kebangkitan Lan Solo

LAN SOLO. Foto: AZRUL RAFIE
LAN SOLO. Foto: AZRUL RAFIE
A
A
A

PENYANYI Lan Solo mengakui terpaksa bermula dari bawah sebaik meninggalkan band sebelum ini.

Menurut Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, bukan tidak mempercayai pada rezeki, namun dia beranggapan kekuatan seseorang penyanyi yang muncul dengan band adalah band itu sendiri.

Malah dia mengakui setiap kali ada anggota band yang meninggalkan band, Lan sering terfikir bagaimana nasibnya suatu hari nanti, jika dia juga terpaksa bergerak sendiri.

"Bagi saya seorang seniman bergantung pada karya, jadi saya memang takut ditinggalkan atau meninggalkan band sebab bagi saya kekuatan seorang penyanyi yang ada band adalah bila bersama bandnya.

"Lagi pula saya ada tanggungan yang besar, bukan setakat pada anak-anak tapi keluarga. Jadi saya bimbang jika sukar cari makan.

"Lepas bergerak solo, saya terpaksa merangkak macam mula-mula dulu tapi Alhamdulillah sekarang saya mampu berdiri atas kaki sendiri," katanya ketika ditemui selepas selesai Lan Solo Next Level Showcase yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Malaysia Tourism Centre (MaTiC) Kuala Lumpur, malam semalam.

Showcase yang merupakan simbolik 20 tahun Lan Solo di dalam industri itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lima orang bekas anggota kumpulan Kristal terdiri daripada Ainol, Ezal, Joe, Ejan dan Amai yang mengiringi persembahan selama dua jam itu.

Seramai 400 peminat dan rakan artis turut sama hadir memeriahkan showcase berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ditanya adakah showcase ini sebagai simbolik menunjukkan dia kini mampu bergerak sendiri, penyanyi berusia 34 tahun menafikannya.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, Lan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mempercayai kemampuannya.

LAN SOLO. Foto: AZRUL RAFIE
LAN SOLO. Foto: AZRUL RAFIE

"Sebenarnya showcase sempena 20 tahun berada di dalam industri ini sudah dirancang lama, semenjak saya berada di dalam band lagi, tetapi sukar untuk direalisasikan kerana ada banyak pendapat dan idea.

"Jadi selepas saya bergerak sendiri, isteri saya, Nur Sheila Hassim menggerakkan team saya untuk mengadakan showcase ini.

"Namun pada awalnya saya rancang adakan showcase kecil-kecilan, di sebuah restoran dan dihadiri teman dan peminat.

"Cuma bila saya jumpa orang yang betul, yang percaya dengan saya, yang memberi sokongan padu, ia berubah menjadi showcase yang bermakna buat saya. Apa yang saya plan sebelum ini sudah menjadi kenyataan," jelasnya.

Menerusi showcase Lan Solo Next Level semalam, Lan menyampaikan seleksi lagu popular, baik ketika menjadi vokalis band sebelumnya sehinggalah menyertai program Gegar Vaganza dan dua buah lagu baharunya.

Antara 18 buah lagu yang disampaikannya adalah Sangkar Cinta, Amboi Amboi, Memburu Impian, Selagi Ada Rindu, Cinta Tiga Segi, Hukum Karma, Bujang Senang, Resam Pak Belalang, Berpisah Tanpa Rela, Twist Abang Sayang, Delaila, Seragam Hitam dan beberapa lagi.

Lan juga sempat mendedikasikan sebuah lagu iaitu Suatu Kenangan buat bekas anggota Kristal iaitu Allahyarham Bob atau nama sebenarnya Hairy Fitri Ahmad yang meninggal dunia pada Oktober 2016 akibat kemalangan jalan raya.

Bukan hanya Lan dan bekas anggota Kumpulan Kristal yang menitiskan air mata, rata-rata penonton juga turut sama sebak dan terusik dengan momen yang cukup sayu itu.

Showcase Lan Solo Next Level ini turut dihadiri tetamu DiRaja iaitu Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Al-Haj bersama Che Puan Datin Hezeita Prof Dr Mohd Hafidz.

Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Persatuan Klef, Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).