Perintah kuarantin: Polis buka kertas siasatan terhadap Guan Eng

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang didakwa melanggar perintah kuarantin kendiri pada minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan dibuka selepas polis menerima beberapa laporan yang dibuat terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Menurutnya, polis akan menyoal siasat Guan Eng selepas beliau tamat proses kuarantin kendiri pada 10 September ini.

"Kita akan panggil beliau untuk disoal siasat selepas tamat tempoh kuarantin yang berakhir pada esok.

"Setakat ini, pihak polis menerima tiga laporan mengenai isu tersebut, siasatan telah bermula dan dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP)," katanya di sini pada Khamis.

Mohd Suhaily berkata, setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada tiga individu yang telah membuat laporan polis.

Katanya, polis juga akan merekodkan keterangan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Roshidi Azmi dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis.

Pada pagi Khamis, Guan Eng menyangkal dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng hanya diberitahu pada 2 September berhubung perkara itu setelah menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang di sini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menafikan bahawa beliau telah keluar secara terbuka untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi di kawasannya pada 2, 4 dan 8 September.

Tambah beliau, hanya berada di rumah untuk kuarantin kendiri setelah menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang pada 2 September dan kemudiannya diuji negatif.

Pada Rabu, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.

Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.