Tak dapat wang, penagih tikam kepala adik dengan gunting

Suspek ditahan dan gunting yang digunakan untuk menikam kepala adiknya turut dirampas dalam kejadian di Beaufort pada Rabu.
Suspek ditahan dan gunting yang digunakan untuk menikam kepala adiknya turut dirampas dalam kejadian di Beaufort pada Rabu.
A
A
A

BEAUFORT - Akibat tidak dapat wang untuk membeli dadah, seorang penagih mengamuk sebelum bertindak menikam kepala adiknya dalam kejadian di Kampung Pintas di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 31 tahun terbabit mengamuk dan merosakkan barang-barang selepas gagal mendapatkan wang daripada ibunya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian itu dilihat adik lelaki suspek yang berusia 25 tahun sebelum bertindak menegurnya namun tiba-tiba diserang oleh suspek.

Katanya, berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek bertindak mengambil gunting dan menikam kepala adiknya.

"Ibu mereka yang melihat kejadian itu segera meleraikan pergelutan terbabit dan akibat kejadian itu mangsa luka di kepala serta dada akibat terkena gunting yang digunakan suspek.

"Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Susulan kejadian itu, katanya, satu laporan polis dibuat ahli keluarga dan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bertindak menahan suspek.

"Senjata yang digunakan dalam kejadian iaitu gunting turut dirampas.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan mendapati suspek merupakan penagih dadah dan wang yang diminta dipercayai untuk digunakan membeli barang terlarang berkenaan," jelasnya.

Yusoff Zaki berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.